Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 75
(1-132)
Ketika berlaku ribu yang kuat, guruh yang berdentum dan kilat yang menyambar, udara bertukar menjadi ombak besar yang bergelombang…Namun setiap zarah masih belum kehilangan sistem dan peraturannya. Sedikitpun tugasnya tidak tergendala… Sesuatu tugas tidak pernah menghalang tugas yang lain… Demikianlah saya menyaksikan hakikat tersebut melalui pandangan mata hakikat (‘ainul haqiqah).
Jadi, sama ada setiap zarah itu bahkan setiap bahagian udara itu mempunyai ilmu, kebijaksanaan, kehendak, kekuatan, kudrat yang mutlak dan menyeluruh terhadap keseluruhan zarah… agar ia mampu melaksanakan segala tugasnya yang pelbagai itu dalam keadaan sempurna… namun keadaan ini adalah amat mustahil sebanyak bilangan zarah tersebut dan adalah keadaan yang sama sekali tidak boleh diterima, bahkan ia tidak pernah disebutkan oleh mana-mana syaitan…
Oleh itu, akal yang waras menuntut berdasarkan haqqul yaqin, ‘ainul yaqin dan ‘ilmul yaqin bahawa lembaran udara ini adalah lembaran yang sentiasa bertukar ganti. Allah tuhan Yang Maha Mencipta mencatat di atasnya apa sahaja yang dikehendakinya berdasarkan ilmuNya yang mutlak dengan pena qudrat dan qadarNya yang menggerakkan segala sesuatu berdasarkan hikmatNya yang juga mutlak. Lembaran itu juga adalah umpama papan yang boleh dipadam dan ditulis tentang alam yang sentiasa bertukar dan berubah bagi segala benda yang boleh dicatatkan di Lawh Mahfuz.
Udara menunjukkan penjelmaan sifat keesaan dengan perkara-perkara menakjubkan yang disebutkan tadi, iaitu ketika ia melaksanakan satu sahaja daripada tugas-tugasnya iaitu ketika memindahkan suara. Dalam masa yang sama, ia juga menjelaskan sejelas-jelasnya tentang kemustahilan kesesatan yang tidak terhitung. Ia juga turut melaksanakan pelbagai tugas lain yang amat penting dengan penuh sistematik tanpa berlaku percampuran, pertindihan dan kekeliruan, seperti pemindahan bahan-bahan seni seperti elektrik, tarikan graviti dan cahaya… Dalam masa yang sama, ia turut memasuki pelbagai tumbuhan dan haiwan melalui pernafasan sambil menjalankan tugas-tugas hariannya dengan penuh ketelitian. Dalam masa yang sama juga, ia turut memindahkan benih-benih tumbuhan untuk tujuan persenyawaan. Begitu juga dengan tugas-tugas asasi lain yang dijalankannya bagi menerus dan mengekalkan kehidupan ini. Ini semua membuktikan bahawa udara adalah suatu singgahsana agung yang tunduk patuh kepada perintah ilahi dan kehendakNya yang maha mulia. Ia juga membuktikan dengan ‘ainul yaqin bahawa semua itu berlaku tanpa campurtangan ‘kebetulan’ atau sebab-sebab remeh atau bahan-bahan yang lemah, beku dan tidak tahu melakukan penulisan yang indah terhadap lembaran udara dan melaksanakan tugasnya yang penting itu.
Lalu saya merasa amat yakin dengan ‘ainul yaqin bahawa setiap zarah bahkan setiap bahagian udara berkata melalui lisan halnya: (قل هو الله أحد) dan (لا إله إلا الله).
Saya menyaksikan perkara yang menakjubkan ini dari sudut material yang terdapat pada udara dengan menggunakan kunci ini, iaitu kunci perkataan ‘dia’ (هو). Begitu juga seluruh elemen udara menjadi seperti perkataan ‘dia’ (هو), iaitu menjadi kunci alam al-mithal (perumpamaan) dan alam maknawi. Alam al-mithal menjadi umpama kamera yang amat besar dan mengambil gambar yang tidak terhitung bagi segala peristiwa yang berlaku di dunia. Ia mengambil semua gambar tersebut sekaligus tanpa berlaku percampuran dan kekeliruan sehingga seluruh alam ini mendakapi segala pemandangan akhirat yang agung dan luas serta dapat menampung pemandangan ribuan dunia yang membentangkan keadaan-keadaan kemusnahan yang berlaku bagi makhluk-makhluk yang binasa. Ia juga memperlihatkan buahan kehidupannya yang merentasi pemandangan dan lukisan abadi yang dibentangkan di hadapan penghuni syurga yang memperolehi kebahagiaan selamanya melalui pameran yang berkekalan. Semua ini memperingatkan mereka tentang kejadian-kejadian dunia dan kenangan-kenangan indah yang berlalu di sana.
No Voice