Fitrah manusia dan segala kelengkapan maknawi yang dikurniakan oleh Allah pada dirinya menunjukkan bahawa manusia diciptakan untuk melakukan ibadat. Ini kerana segala kekuatan serta kemampuan yang dikurniakan kepadanya dan segala pekerjaan yang dilakukannya dalam kehidupan di dunia ini tidak dapat menyampaikannya kepada kedudukan burung yang paling rendah sekalipun (yang mana burung pun menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripadanya). Sedangkan manusia boleh menjadi sultan kepada seluruh alam ini dan menjadi penghulu kepada seluruh makhluk di dalam kehidupan maknawi dan ukhrawi berdasarkan ilmunya, keberhajatannya dan peribadatannya yang dilakukan kerana Allah.
Wahai jiwaku!
Jika engkau menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai matlamat utama dan berusaha bersungguh-sungguh demi untuk mendapatkannya, maka engkau akan berada pada kedudukan seekor burung yang paling kecil.
Manakala jika engkau menjadikan kehidupan akhirat sebagai matlamat tertinggi dan menjadikan kehidupan dunia hanya sebagai wasilah dan ladang tempat bercucuk tanam sahaja dengan engkau membuat usaha sekadarnya… maka engkau akan menjadi penghulu kepada segala hidupan yang ada dan hamba yang mulia di sisi tuhan yang maha mencipta dan maha mulia. Engkau juga akan menjadi tetamu yang diraikan lagi dimuliakan di atas bumi ini.
Di hadapan anda terdapat dua jalan. Maka pilihlah yang mana anda mahu lalui.
Sebelum itu, pohonlah hidayah dan taufiq daripada tuhan yang maha mengasihani.