Pada suatu hari, seorang sultan telah meletakkan barang amanah di sisi dua orang rakyatnya, iaitu bagi setiap orang sebuah ladang yang luas. Di dalam ladang terdapat segala jenis mesin, alat, senjata, haiwan dan sebagainya.. Kebetulan waktu itu merupakan zaman perang yang sengit. Tiada suatu pun yang stabil. Sama ada keadaan perang akan mengubahnya atau terus memusnahkannya sama sekali. Lalu sultan itu dengan segala rahmat dan kelebihannya mengutus seorang utusan yang rapat dengannya bagi membawa perintahnya yang mulia untuk disampaikan kepada kedua-dua orang rakyatnya itu. Utusan itu berkata:
“Jualkanlah kepadaku segala barang amanah yang terdapat pada kamu untuk aku menjaganya bagi pihak kamu. Agar segalanya tidak musnah begitu sahaja pada zaman yang amat genting ini. Aku akan mengembalikannya kepada kamu, apabila perang telah selesai.. Aku akan memberikan bayaran yang tinggi, seolah-olah barang amanah itu adalah milik kamu sendiri.. Sekarang kamu masih boleh menggunakan mesin dan alat yang berada di dalam penjagaan kamu itu tetapi di dalam bengkelku dengan namaku dan dengan penjagaan daripadaku.. Harganya pula akan menjadi berlipat kali ganda daripada satu kepada seribu di samping semua keuntungan akan kembali kepada kamu semuanya.. Aku juga berjanji akan menanggung segala kos dan perbelanjaan penjagaan mesin dan alat tersebut, kerana kamu tidak mampu dan miskin serta tidak berdaya untuk menanggung kos tersebut.. Aku juga akan mengembalikan kepada kamu segala hasil dan manfaat yang diperolehi. Aku juga akan mengekalkan hasil dan manfaat itu di sisi kamu agar kamu dapat mengambil faedah daripadanya dan mendapat kenikmatan daripadanya sehinggalah tiba waktu untuk mengambilnya daripada kamu.”