MUKADDIMAH
Buku kecil ini merupakan satu rangkaian intisari dari karya paling penting dalam khazanah tentang agama dan falsafah yang terbit di Turki pada abad moden ini. Karya ini bernama Risalah an-Nur karya Badiuzzaman Said Nursi.
Said Nursi hidup antara tahun 1873 M – 1960 M. Pengetahuannya tentang pelbagai ilmu Timur dan Barat amat luas sekali dan beliau mampu menyelesaikan permasalahan yang paling rumit sekalipun. Oleh itu beliau diberi gelaran “BADIUZZAMAN” yang bermaksud mukjizat zaman. Bagi beliau penyakit yang paling parah dideritai oleh manusia masa kini yang ingin mencari kebahagiaan sebenar ialah kecenderungan memandang ilmu pengetahuan moden dan pengetahuan agama sebagai sesuatu yang tidak boleh disatukan. Ilmu pengetahuan moden dipisahkan secara total dari ilmu agama. Manusia dalam kenyataannya terdiri dari jiwa dan raga, tetapi mengapa kewujudannya dipandang hanya dari satu sudut ilmu sahaja? Itulah yang menyebabkan krisis dan inilah yang dialami oleh manusia sehingga dia tersesat.
Ilmu pengetahuan moden memberikan kesan langsung yang boleh dirasai di dunia sedangkan hikmah agama akan dinikmati di hari kemudian kelak. Fakta ini dan keunggulan ilmu pengetahuan moden telah menghasilkan teknologi mutakhir yang secara rasional cenderong ke Barat. Tetapi malangnya, teknologi canggih dengan segala kehebatannya itu tidak dapat menemukan ubat penawar kepada luka rohaniah yang dideritai oleh manusia.