BUAH DARI POHON CAHAYA | BUAH DARI POHON CAHAYA | 6
(1-86)
1. KATA PERTAMA
Bismillah adalah awal dari segala yang baik. Kita mengucapkan Bismillah ketika memulai suatu pekerjaan. Ketahuilah bahawa perkataan mulia ini merupakan lambang Islam dan di waktu yang sama sebagai puji-pujian yang selalu dinyanyikan tak henti-henti oleh segala makhluk yang menghuni bumi ini. Jika engkau ingin memahami kekuatan kata “Bismillah” dan betapa hikmah yang diberikan itu tidak berpenghujung, maka perhatikanlah perumpamaan berikut ini :
Seseorang yang ingin berkelana di gurun pasir Tanah Arab di mana terdapat banyak gangguan orang-orang Badwi, perlu menyebut salah satu nama Sheikh dan mengaku mendapat perlindungan daripadanya. Hanya dengan cara demikian musafir tersebut akan selamat dari gerombolan perompak dan sampai ke tujuannya. Jika tidak, ia akan menemui ajalnya di tengah jalan kerana dihadang musuh dan rintangan yang bertubi-tubi.
Syahadan, ada dua orang yang memulai perjalanan mengharungi gurun pasir. Seorang mempunyai sifat rendah hati, manakala seorang lagi sombong. Musafir yang rendah hati dan sederhana itu memohon perlindungan dari seorang Sheikh, manakala si tinggi hati tidak menganggap hal itu penting. Si rendah hati berjalan ke mana-mana dengan selamat. Setiap kali bertemu dengan penjahat, dia berkata, “ Saya berkelana atas nama Sheikh Anu..”, maka penjahat itu tidak berani mengganggunya. Malah di setiap khemah yang dia hampiri dengan menyebut Sheikh tersebut, dia diperlakukan dengan hormat. Sebaliknya si angkuh menderita luar biasa sepanjang perjalanannya. Dia dicengkam rasa takut dan harus meminta-minta jika menginginkan sesuatu. Dia benar-benar telah menjadi seorang yang hina dan dinistakan orang.
No Voice