RISALAH RAMADAN | RISALAH RAMADAN | 3
(1-50)
Hikmah kedua:
Ibadat puasa mengandungi beberapa hikmat dan dengan sebab hikmat-hikmat itu, kita mengucapkan rasa syukur kepada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Salah satunya ialah:
Makanan yang dibawa oleh khadam dari dapur Sultan itu ada harganya. Adalah terlalu dungu kalau kita menyangka makanan yang bernilai itu murah dan tidak berharga. Adalah terlalu bodoh kalau kita tidak mengenali orang yang memberikan nikmat tersebut, sedangkan khadam itu sendiri dianugerahkan dengan pelbagai hadiah kerana menyediakan hidangan itu kepada kita. Makanan dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu juga pasti ada harganya. Sudah pasti Allah (s.w.t) meminta bayarannya, iaitu pernyataan syukur kepada-Nya dan mensyukuri nikmat tersebut. Sebab zahir yang membawa nikmat tersebut dan pemilik zahirnya hanyalah umpama khadam yang membawa sesuatu makanan. Kita membayar khadam itu harga yang sepatutnya diperolehi oleh mereka. Kita terus menerus memuji dan memuliakan mereka, bahkan kita merendah diri kepada mereka dan berterima kasih lebih daripada yang sepatutnya, sedangkan pemberi nikmat yang hakiki, iaitu Allah (s.w.t)lah yang berhak menerima pujian dan ucapan syukur itu, bahkan Dia berhak lebih daripada itu. Oleh itu, kita dapat menyatakan rasa syukur dan keredaan kita kepada Allah dengan mengetahui punca sebenar nikmat tersebut… dan dengan menghargai nilai serta merasai keperluan nikmat itu.
Oleh itu, puasa Ramadan merupakan kunci kesyukuran yang tulus lagi benar; kunci pujian yang agung dan umum buat Allah (s.w.t). Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak itu kerana mereka tidak pernah merasai betapa perit dan azabnya lapar yang sebenar. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasai itu semua. Mereka yang sentiasa kekenyangan tidak dapat menilai, misalnya nikmat yang tersembunyi dalam sepotong roti kering, lebih-lebih lagi sekiranya mereka kaya raya. Hanya orang mukmin yang dapat merasakannya apabila mereka berbuka puasa. Mereka dapat merasakan bahawa ia adalah nikmat Allah yang berharga. Ini dapat dibuktikan melalui daya kecapnya.
No Voice