Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 21
(1-132)
Berkenaan dengan hakikat kematian yang memperlihatkan kegerunannya dan hakikat kematian yang kita saksikan saban hari, di setiap tempat, saya akan menjelaskannya kepada kamu dalam sebuah perumpamaan, sebagaimana saya telah jelaskan kepada para pemuda lain sebaya kamu.
Gambarkan umpamanya beberapa batang kayu sedang dipacakkan di hadapan kamu untuk dijadikan tempat menggantung. Bersebelahan tempat tersebut terdapat sebuah kaunter loteri yang sedang membahagi-bahagikan hadiah yang besar kepada orang-orang yang bernasib baik. Kita yang berjumlah sepuluh orang ini pasti akan dipanggil ke sana, sama ada kita suka atau tidak. Tetapi oleh kerana masa kita akan dipanggil tidak kita ketahui, maka kita sentiasa tertunggu-tunggu setiap saat menantikan seseorang memanggil dan meneriakkan nama kita dan berkata: “Dipersilakan mengambil keputusan kematian kamu. Naiklah ke tempat gantung! Atau kita menunggu-nunggu seseorang memanggil dan berkata: “Dipersilakan mengambil kad yang memberikan anda keuntungan jutaan wang emas.”
Sedang kita berdiri dan menunggu, tiba-tiba kelihatan dua orang keluar daripada sebuah pintu. Salah seorang daripada keduanya adalah wanita cantik, seksi dan hampir bertelanjang, membawa sekeping kuih di tangannya. Dia menghulurkan kuih tersebut kepada kita yang kelihatan amat sedap dan lazat, namun pada hakikatnya kuih tersebut adalah beracun.
Manakala orang kedua adalah seorang lelaki yang kelihatan hebat dan bijaksana. Bukan seorang penipu dan pembohong. Lelaki ini keluar daripada pintu selepas wanita tadi dan berkata: “Saya membawa kepada kamu satu jampi yang menakjubkan. Saya membawa kepada kamu satu pelajaran yang hebat. Jika kamu membaca pelajaran ini dan tidak memakan kuih yang diberikan oleh wanita tadi, kamu akan terselamat daripada tali gantung. Dengan jampi yang menakjubkan ini juga, kamu akan menerima kad yang membolehkan kamu mendapat hadiah yang lumayan dan berharga… Sekarang kamu telah melihat dengan mata kepala kamu sendiri bahawa sesiapa yang memakan kuih tersebut akan mengalami sakit perut dan seterusnya akan menaiki tempat gantung.
Manakala orang-orang yang berjaya mendapat kad untuk memperoleh hadiah yang lumayan, meskipun mereka terhijab dan terlindung daripada pandangan dan pengetahuan kita, kerana mereka juga kelihatan menaiki tempat gantung, tetapi jutaan saksi memberitahu bahawa mereka sebenarnya tidak digantung. Mereka hanya menjadikan tali gantung itu sebagai tangga untuk menyeberangi dengan mudah dan senang ke sebuah tempat untuk mendapatkan hadiah mereka.
No Voice