Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 59
(1-132)

Mukadimah
Mukadimah ini mempunyai dua noktah:
Pertamanya, saya akan menyebut secara ringkas satu natijah yang mencakupi sahaja daripada banyak natijah-natijah kehidupan dan faedah-faedah kerohanian yang diperolehi daripada keimanan dengan kebangkitan semula. Kami juga akan menjelaskan sejauhmana keperluan keimanan ini bagi kehidupan manusia terutamanya dari sudut kemasyarakatan.
Kami juga akan membawa satu hujah menyeluruh di antara berbilang-bilang hujah bagi akidah keimanan dengan hari kebangkitan semula dengan menjelaskan betapa ia adalah hujah yang amat asasi dan jelas sehingga tidak sedikitpun diragui kebenarannya.
Noktah Pertama
Kami akan menunjukkan secara tidak langsung empat dalil sebagai contoh yang piawai di antara ratusan dalil yang menunjukkan bahawa akidah kepercayaan kepada akhirat merupakan asas utama bagi kehidupan kemasyarakatan dan individu seseorang manusia, dan ia juga adalah asas kepada seluruh kesempurnaan, keidealan dan kebahagiaan.
Dalil Pertama:
Kanak-kanak yang merupakan separuh daripada bilangan manusia, tidak mampu untuk menghadapi keadaan dan situasi yang kelihatan menyakit dan menyusahkan seperti peristiwa kematian dan kehilangan orang yang tersayang. Tetapi kita dapati mereka mampu menghadapinya berbekalkan kekuatan maknawi yang terdapat di dalam diri mereka yang masih lemah. Kekuatan itu ialah keimanan kepada syurga. Keimanan itulah yang membuka pintu pengharapan yang bersinar di hadapan jasad fizikal mereka yang lemah dan tidak dapat menentang dan bertahan bahkan akan menangis ketika menghadapi peristiwa yang kecil sekalipun. Dengan keimanan tersebut juga, mereka boleh meneruskan kehidupan dalam keadaan gembira dan bahagia. Maka seseorang kanak-kanak yang beriman dengan kewujudan syurga akan berdialog dengan dirinya sendiri dengan berkata: “Sebenarnya adikku atau kawanku yang meninggalkan aku, sekarang telah bertukar menjadi burung di dalam syurga. Dia dapat berpergian ke mana sahaja yang dikehendakinya di dalam syurga. Di sana, dia dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik dan lebih selesa.” Jika tidak kerana keimanan tersebut, nescaya kematian yang menimpa kanak-kanak seumpamanya bahkan yang juga menimpa orang-orang dewasa, akan menghancurkan kekuatan maknawi yang terdapat padanya yang tidak mempunyai sebarang daya dan usaha. Kematian itu juga akan menghancurkan jiwa dan memahitkan kehidupannya lalu seluruh anggota fizikal serta anggota dalamannya seperti ruh, hati dan akal akan turut menangis bersama tangisan matanya. Setelah itu, perasaan mereka mungkin akan mati dan menjadi keras atau mereka sendiri bertukar menjadi seperti binatang sesat yang celaka.
No Voice