Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 61
(1-132)
Kebersamaan itu pula diikat oleh hubungan kebapaan yang hebat, persaudaraan yang ikhlas dan suci, persahabatan yang setia dan tulus. Sehingga si suami berkata kepada dirinya sendiri: “Isteriku ini adalah rakan dan sahabatku dalam kehidupan di dalam alam yang kekal abadi. Tak mengapalah jika dia sekarang menjadi seorang yang tua dan hodoh kerana nantinya dia akan mempunyai kecantikan yang abadi. Oleh itu, saya bersedia untuk memberikan sebarang pengorbanan yang dituntut oleh kesetiaan dan kasihan belas saya, dan saya juga bersedia untuk mengorbankan apa sahaja yang dituntut oleh persahabatan yang akan kekal abadi itu…” Demikianlah bagaimana seorang suami mampu untuk memberikan kasih sayang dan kasihan belas kepada isterinya yang sudah tua, sama seperti kasih sayang yang diberikannya kepada bidadari. Jika tidak kerana iman ini, nescaya ia hanyalah persahabatan luaran yang memakan masa selama satu atau dua jam kemudian ia akan disudahi dengan perpisahan abadi. Ia juga merupakan persahabatan zahir yang tidak mempunyai sebarang asas dan sandaran. Persahabatan yang seumpama itu hanya mampu memberikan perasaan kasihan belas yang palsu, penghormatan yang dibuat-buat dan perasaan kasihan belas yang berbentuk kehaiwanan sahaja. Ditambah lagi perasaan kasihan belas dan penghormatan itu dicemari oleh kepentingan-kepentingan tertentu seperti kehendak hawa nafsu. Maka ketika itu, syurga keduniaan akan bertukar menjadi neraka jahannam yang tidak tertanggung azabnya.
Demikianlah salah satu sahaja daripada natijah keimanan terhadap kebangkitan semula. Ia hanyalah salah satu sahaja daripada antara ratusan natijah yang berhubung dengan kehidupan sosial manusia yang memberi faedah kepada mereka dan mempunyai ratusan jenis dan bentuk. Jika ia dibandingkan terhadap keempat empat bukti yang telah disebut itu, dapatlah difahami bahawa kejadian kebangkitan semula merupakan suatu yang pasti sebagaimana pastinya hakikat manusia dan keberhajatan mereka. Bahkan ia adalah lebih jelas daripada keperluan perut kepada makanan. Kita mungkin boleh melihat lebih jauh bagaimana keimanan kepada hari kebangkitan merupakan suatu keperluan kepada manusia dengan lebih mendalam apabila manusia tidak mempunyai atau mempercayai hakikat tersebut, iaitu hakikat kebangkitan semula. Kerana pada ketika itu, hakikat manusia yang tinggi, penting dan aktif akan bertukar menjadi seperti bangkai yang busuk dan tempat membiaknya segala macam jenis kuman dan virus.
Maka ahli sosiologi, politik dan akhlak dari kalangan mereka yang prihatin terhadap permasalahan, akhlak dan sifat sosial manusia… mereka hendaklah mendengar penuh perhatian dan menjelaskan bagaimana mereka mahu memenuhkan kekosongan ini? Dengan apakah mereka akan mengubat dan membalut luka yang luas dan dalam ini?
No Voice