Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 8
(1-132)
Jalan ketiga: Melalui jalan ini, mereka yang tidak beriman dengan akhirat iaitu mereka yang sesat akan diheret. Ketika itu, mereka mendapati kubur menjadi pintu yang menghabis dan mengakhiri riwayat mereka sepenuhnya. Kubur pada pandangannya merupakan tali gantung yang menamatkan riwayatnya dan riwayat mereka yang dikasihinya. Ini adalah balasan kepada keingkarannya terhadap hari akhirat.
Kedua-dua hakikat ini adalah suatu yang diketahui secara badihi, tidak perlu kepada dalil dan bukti, kerana ia boleh disaksikan dengan mata kepala.
Ajal tidak diketahui oleh kita kerana dilindungi oleh dinding alam ghaib. Kematian pula mungkin mendatangi kita pada bila-bila masa sahaja tanpa membezakan antara yang tua dengan yang muda… Tidak syak lagi manusia lemah yang melihat permasalahan yang menggerunkan ini berlaku di hadapan matanya pada setiap ketika, maka sudah pasti dia akan sentiasa berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh menyelamatkannya daripada hukuman mati tersebut. Dia juga akan berusaha untuk mencari apa sahaja jalan yang boleh menukar pintu kuburnya daripada kegelapan pekat kepada cahaya bersinar yang membawanya kepada dunia abadi dan taman-taman yang menakjubkan di alam cahaya dan kebahagiaan berkekalan… Tidak diragukan lagi, ini adalah permasalahan utama manusia, bahkan ia adalah permasalahan yang lebih utama dan lebih besar daripada seluruh isi dunia ini.
Kejelasan hakikat ini, iaitu hakikat kematian dan alam kubur melalui tiga jalan yang telah dinyatakan di atas telah dikhabarkan oleh 124 ribu orang-orang yang benar percakapannya iaitu para nabi yang mulia, yang memikul panji-panji kebenaran yang merupakan mukjizat mereka yang jelas nyata… Hakikat ini juga telah dikhabarkan oleh 124 juta pada wali yang salih. Mereka membenarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi yang mulia. Mereka turut menyaksikan kebenaran hakikat tersebut melalui kasyaf, zauq dan syuhud… Kemudian hakikat ini turut dikhabarkan oleh bilangan yang tidak terhingga dari kalangan ulama yang muhaqqiqin. Mereka juga turut membukti benarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi dan para wali itu dengan dalil-dalil akli yang mencapai tahap ilmu al-yaqin, sehingga mencapai tahap keyakinan 99%.
No Voice