Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 10
(1-132)
Di samping itu, proses penuaan, penyakit dan bala bencana, serta kematian yang berlaku di sana sini, semuanya melahirkan rasa amat dukacita di dalam hati setiap manusia dan memberikan amaran kepadanya tentang kesudahan yang pasti akan dihadapinya. Sudah pasti di dalam hati orang-orang yang sesat, bodoh dan bersifat kegilaan itu akan bergejolak api maknawi yang mengazabkan mereka sehingga walaupun mereka sedang menikmati kesukaan dan kelazatan duniawi. Tetapi hanya kealpaan sahaja yang menghalang mereka daripada merasai azab yang pedih itu.
Ahli iman dan ketaatan melihat kubur yang terpampang di hadapan mereka sebagai satu pintu yang menuju kepada taman-taman bahagia dan kenikmatan yang berkekalan. Kekuasaan ilahi mengurniakan kepada mereka satu paspot yang membolehkan mereka memperoleh suatu khazanah yang tidak akan binasa lantaran penyaksian keimanan yang mereka lakukan. Oleh itu, setiap orang daripada mereka akan merasai kelazatan mendalam yang sebenar, serta kesegaran ruh yang membugar ketika menunggu seruan yang memanggilnya: “Marilah… Ambillah kad anda ini!” Kesegaran ruh tersebut jika boleh bertukar dalam bentuk yang berjisim nescaya ia akan menjadi seumpama taman maknawi yang khusus buat si mukmin tersebut, sebagaimana sesuatu biji benih boleh bertukar dan terbentuk menjadi sepohon pokok yang mempunyai daunan yang menghijau.
Jika inilah hakikatnya, maka sesiapa yang meninggalkan kenikmatan rohani yang kudus itu hanya kerana ingin mengecap suatu kelazatan sementara yang tidak dibenarkan, bahkan dipenuhi dengan pelbagai kesakitan (seperti ingin memakan madu yang beracun) berdasarkan dorongan kegilaan kemudaan dan kebodohannya, maka sudah pasti dia akan tenggelam ke dalam lembah yang lebih hina daripada lembah haiwan… Bahkan kedudukannya tidak sama dengan kedudukan golongan mulhid juga, kerana mungkin orang yang mengingkari Rasul kita Nabi Muhammad saw dari kalangan mereka, mungkin beriman dengan rasul-rasul yang lain. Jika dia tidak beriman dengan keseluruhan rasul-rasul, mungkin dia beriman dengan kewujudan Allah swt. Jika dia tidak beriman dengan Allah swt, mungkin dia mempunyai sifat-sifat terpuji yang akan memperlihatkan kepadanya sifat-sifat kesempurnaan Allah. Sedangkan seseorang muslim tidak mengenal para rasul yang mulia, tidak beriman dengan tuhannya, tidak mengetahui sifat-sifat kesempurnaan manusia melainkan melalui perantaraan Nabi Muhammad saw.
No Voice