Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 12
(1-132)
Skrin Maknawi (Kegembiraan Sejati)
Pada suatu hari saya duduk di hadapan sebuah tingkap di penjara Eskisehir. Tingkap tersebut mengadap ke arah sebuah sekolah menengah bagi murid-murid perempuan. Beberapa orang murid kelihatan bergelak ketawa dan bermain-main dalam keadaan sungguh gembira. Sebaik saja saya melihat mereka berada dalam keadaan demikian, sekonyong-konyong pada pandangan saya, mereka bertukar menjadi bidadari neraka jahannam yang sedang berada di taman dunia ini. Kerana secara tiba-tiba saya ternampak keadaan mereka pada masa akan datang iaitu selepas 50 tahun. Gelak tawa dan kegembiraan mereka bertukar menjadi gambaran-gambaran tangisan yang memerit dan amat mendukacitakan.
Melalui keadaan ini, tersingkap kepada saya hakikat berikut:
Melalui skrin khayalan dan maknawi ini, saya melihat apa yang akan berlaku kepada mereka selepas 50 tahun. Saya melihat 50 orang pemudi yang sedang ketawa sekarang ini sedang diazab di dalam kubur. Jasad mereka telah hancur. Sementara 10 orang yang lain, masih hidup dalam usia yang telah lanjut lebih kurang 70 tahun. Wajah mereka yang berkedut hodoh menyebabkan orang lain meluat dan menjauhkan diri.
Saya tidak dapat menahan diri berhadapan dengan pemandangan ini, lalu saya menangis teresak-esak terhadap keadaan mereka. Kemudian saya ternampak pula fitnah di akhir zaman yang jauh lebih dahsyat yang terkena terhadap orang-orang yang beriman. Iaitu fitnah yang dibawa oleh golongan wanita menggiurkan yang lahir daripada ketiadaan sifat malu. Keberanian mereka telah merampas kekuatan semangat orang lelaki lalu si lelaki jatuh terkulai ke lembah kebodohan, sebagaimana rama-rama mencampakkan dirinya ke dalam api. Perempuan tersebut telah berjaya menjadikan si lelaki mengutamakan kenikmatan dunia fana’ yang hanya boleh dikecapi selama satu minit sahaja jika dibandingkan dengan tahun-tahun kenikmatan yang bakal diperolehi pada kehidupan yang kekal abadi nanti.
No Voice