Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 14
(1-132)
Ya! Jika keseronokan dan kelazatan dalam tempoh kurang daripada sejam yang terhasil melalui perbuatan bodoh dapat menyamai segala kedukacitaan dan kepiluan yang tidak berkesudahan itu, maka engkau dipersilakan untuk terus berada dalam keadaan demikian. Teruslah berada dalam kelalaian, kealpaan dan kegilaan engkau. Tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka kembalilah engkau kepada kewarasan. Dengarlah dengan telinga yang peka akan ajaran-ajaran al-Quran. Gantilah kelazatan-kelazatan kecil, yang akan binasa dan tidak melebihi satu minit itu dengan kelazatan-kelazatan menyeluruh yang berterusan[1] agar engkau selamat daripada neraka maknawi dan memasuki syurga maknawi di atas dunia ini juga serta mengecapi nikmat kebahagian hidup. Janganlah engkau berkata: “Saya akan meneruskan kehidupan saya seperti haiwan!” Kerana masa silam dan akan datang terhijab daripada dilihat oleh haiwan. Masa silam dan akan datang adalah ibarat perkara ghaib bagi mereka. Mereka telah diselamatkan oleh Allah yang maha bijaksana lagi maha penyayang daripada ditimpa kesakitan yang tidak bersempadan dengan menghijabkan alam ghaib daripada mereka. Hinggakan ayam yang dicipta untuk disembelih tidak merasa sakit dan dukacita kecuali ketika pisau melalui tengkuknya. Itupun rasa sakit tersebut dengan segera akan hilang seterusnya ia terselamat daripada merasainya lagi. Sesungguhnya rahmat Allah tuhan yang maha mencipta amat luas. Kasihan belas dan kasih sayangNya terhadap makhluk jelas kelihatan melalui penghijaban alam ghaib. Ia kelihatan dengan lebih jelas lagi pada binatang-binatang yang tidak berdosa.

Dari sini, anda tidak boleh selama-lamanya untuk bernikmat-nikmat dengan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak sebagaimana dilakukan oleh haiwan, apatah lagi jika nikmat tersebut jauh ribuan kali ganda lebih rendah daripada apa yang dilakukan oleh haiwan. Ini adalah kerana akal anda mempunyai perasaan dan melihat apa yang ghaib di sisi haiwan. Akal anda akan merasa sakit dan dukacita. Anda tidak akan memperoleh kerehatan sempurna sebagaimana dirasai oleh haiwan yang dihijab sama sekali daripada melihat perkara ghaib di hadapannya.
--------------------------------------------------------------
[1]Ya! Dari sudut maknawi, sesungguhnya iman dapat memberikan rasa kelazatan dan kenikmatan syurga semasa kita berada di dunia ini lagi. Lihatlah salah satu faedah iman daripada ratusan faedah dan kelazatannya yang bercahaya:

Andaikan anda sekarang sedang berada di sisi seorang yang anda amat kasihi yang sedang menghadapi saat kematiannya. Betapa kegembiraan anda ketika anda melihat seorang doktor pakar seperti Luqman al-Hakim atau Khidr datang dan memeriksa orang tersebut. Setelah melakukan pemeriksaan, tiba-tiba si pesakit terselamat daripada genggaman kematian dan menjadi seorang yang sihat ceria. Ingatlah kedudukan anda ketika itu dan perhatikanlah betapa gembiranya anda ketika itu!

Begitu juga dengan iman. Ia membangkitkan kegembiraan pada diri anda sama dengan kegembiraan anda ketika melihat semua orang yang sudah meninggal dunia dan mempunyai hubungan dengan anda dihidup dan dibangkitkan kembali. Kerana jutaan orang yang telah meninggal dunia dan dikebumikan di perkuburan masa lampau itu adalah para kekasih anda. Cahaya iman membangkitkan mereka hidup kembali dan menyelamatkan mereka daripada kemusnahan, ketiadaan dan kematian abadi. Tiba-tiba mereka bangun dan berkata: “Kami tidaklah mati, dan kami tidak mati selama-lamanya.”

Dengan kelebihan iman dan pembangkitan semula mereka yang dikasihi itu, terjelmalah perasaan kegembiraan yang tidak berkesudahan menggantikan tempat kesakitan yang tidak terbatas hasil daripada perpisahan yang juga tidak terhad.

Ini adalah bandingan tentang kegembiraan dan kebahagiaan yang diberikan oleh iman di atas dunia ini. Ini menunjukkan bahawa biji benih keimanan yang hidup jika bertukar menjadi jasad dan bertangkai, ia pasti akan menyebabkan ahli iman merasai kelazatan dan keindahan syurga. (Penulis)
No Voice