Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 11
(1-132)
Oleh itu, sesiapa yang tidak beradab dengan pengajarannya yang berkat, bahkan melepaskan diri daripada perintahnya, maka dia tidak mengiktiraf para nabi yang lain, bahkan dia mengingkari Allah swt itu sendiri. Dia juga tidak mampu untuk memelihara asas-asas kesempurnaan manusia di dalam ruhnya, kerana asas-asas agama dan tarbiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah amat dalam dan tegap serta sempurna sehingga sesiapa yang meninggal dan mengabaikannya tidak mungkin dapat mendakap sebarang cahaya dan sebarang kesempurnaan. Bahkan dia dihukum agar dihumbankan ke lembah kehinaan dan kerendahan mutlak. Kerana baginda saw adalah penyudah kepada seluruh para Nabi, penghulu segala mursalin dan pemimpin manusia seluruhnya dalam segala hakikat kebenaran. Bahkan baginda juga adalah paksi kebanggaan dan kemuliaan, sebagaimana dibuktikan dengan pembuktian yang indah sepanjang 14 kurun.
Wahai mereka yang terfitnah oleh keindahan kehidupan dan kenikmatan di dunia! Wahai mereka yang mengerahkan seluruh tenaga bagi menjamin kehidupan dan masa depan dalam keadaan kebimbangan! Wahai mereka yang merana!
Jika kamu ingin mengecap kenikmatan dan kelazatan dunia melalui kebahagiaan dan kerehatan yang terdapat di dalamnya, maka kelazatan dan kenikmatan yang diizinkan oleh syarak sudah mencukupi bagi kamu. Ia sudah memadai bagi memenuhi segala tuntutan dan keinginan kamu serta menenangkan hawa nafsu kamu. Daripada penjelasan yang saya berikan sebelum ini, anda tahu bahawa setiap kelazatan dan kenikmatan yang terkeluar daripada batasan kebenaran syarak mengandungi seribu satu macam kesakitan, jika kita dapat menayangkan peristiwa dan kejadian yang akan berlaku selepas 50 tahun misalnya di atas skrin layar, sebagaimana kita menayangkan peristiwa dan kejadian yang telah berlaku. Jika ini dapat dilakukan, nescaya mereka yang alpa yang bertindak bodoh pasti akan menangis dengan tangisan yang pahit terhadap apa yang menggembirakan mereka sekarang.
Sesiapa yang menginginkan kegembiraan dan kesukaan yang suci serta berterusan di dunia dan akhirat, dia hendaklah menurut segala pentarbiahan keimanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw.
No Voice