Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 16
(1-132)
(Suatu Isu Penting Yang Tiba-tiba Terlintas Di Fikiran)
Fitnah WanitaPerhatian:
Dialog yang dikemukakan oleh Rasa’il al-Nur biasanya dibayangi dengan perasaan rahmat dan kasihan belas. Oleh itu, kaum wanita lebih kuat berpegang dengan Rasa’il al-Nur yang memang mempunyai keistimewaan yang lebih dengan memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Tetapi risalah ini ditujukan kepada kaum wanita yang mengikut jejak langkah wanita asing secara membabi buta. Oleh itu risalah ini kelihatan keras perbicaraannya. Ini dilakukan hanya untuk memberikan kesedaran kepada kaum wanita yang lalai. Oleh itu, saya berharap agar kekerasan perbicaraan risalah ini tidak mengejutkan saudari-saudari kita dalam iman yang memang bersifat penuh kasih sayang dan lemah lembut.
Difahami daripada beberapa buah hadis bahawa kaum wanita dan fitnah yang dibawakan mereka akan menyebabkan berlaku bahaya yang amat besar dan menakutkan di akhir zaman.
Ya, sebagaimana diberitakan oleh beberapa buah buku sejarah, bahawa pada kurun-kurun pertama dahulu, terdapat sekumpulan wanita yang terkenal sebagai orang yang berani memikul senjata. Mereka dikenali sebagai wanita Amazon sehingga dapat dibentuk satu kumpulan tentera daripada golongan mereka. Kumpulan tentera ini terlibat dalam beberapa peperangan yang sengit. Begitu juga pada zaman kita ini. Ketika kesesatan zandaqah (kekufuran) melakukan serangan terhadap Islam, terdapat satu kumpulan yang amat digeruni yang merupakan salah satu kumpulan yang memusuhi Islam yang menjalankan aktivitinya berdasarkan perancangan konspirasi yang ditetapkan oleh jiwa yang sentiasa menyeru ke arah kejahatan dan menyerahkan urusan kepimpinannya kepada syaitan. Kumpulan ini terdiri daripada sekumpulan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang mendedahkan betis-betis mereka dan menjadikannya sebagai senjata keras yang tikamannya melukakan ahli iman! Mereka telah menutup pintu perkahwinan dan membuka pintu perzinaan. Tiba-tiba, mereka menawan banyak jiwa dan menusukkan tikaman yang menyebabkan luka yang amat parah pada hati dan ruh mereka dengan melakukan pelbagai perkara maksiat dan dosa besar. Bahkan beberapa jiwa telah berjaya dimatikan sama sekali hingga tidak terdaya untuk bangkit kembali.
No Voice