Biografi Bediüzzaman Said Nursi | Biografi Bediüzzaman Said Nursi | 3
(1-144)

MUKADIMAH

Peristiwa berdarah di dalam sejarah bangsa-bangsa dan kejadian besar dan menyeleweng dari perjalanan yang lurus di dalam kehidupan umat-umat, memiliki tokoh-tokoh besar dan orang-orang genius lagi handal yang mendapat bimbingan Ilahi untuk diutus di tengah-tengah pergelutan dan kekacauan ini supaya mereka dapat mengatasi situasi dan menghalang bangsa mereka daripada kejatuhan di lembah kehampaan dan daripada penyelewengan yang mengerikan dari konteks sejarah dan peradaban mereka.
Badiuzzaman Said Nursi adalah salah seorang daripada tokoh besar itu. Allah Ta’ala meletakkan pada bahunya tanggungjawab untuk bangun dengan memperbaharui kehidupan iman yang redup di dalam hati dan beban melawan arus deras yang hampir melucuti bangsa Turki yang Muslim dari sejarah, agama dan keIslamannya.
Buku ini hanyalah merupakan usaha sederhana yang menguraikan kehidupan tokoh besar yang produktif ini dan untuk mengetahui lautan ilmunya yang dalam dan luas, yang perhiasan dan mutiaranya tidak habis-habisnya.
Dapat dikatakan bahawa buku kami ini meneroka dua permasalahan:
Pertama: Ia menerangkan tentang suatu masa sejarah daripada kehidupan Turki moden dan kesan-kesan mendalam dan jelas yang ditinggalkan oleh kepribadian Ustadz Nursi di dalam kehidupan politik, pemikiran dan sosial bangsa Turki. Pengaruh ini masih berkesan dan memainkan peranannya sehingga setelah kemangkatan beliau. Kesan ini jelas dapat disaksikan dan dapat dirasakan serta diakui oleh musuh-musuh beliau.
Kedua: Buku ini membentangkan kehidupan salah seorang tokoh dai’e Islam pada zaman moden. Melalui pengkajian kehidupannya dapat kita tekankan satu hakikat sejarah yang paling besar iaitu bahawa agama Allah Yang Maha Agung ini adalah agama vital, kekal dan mampu memberi pada setiap masa dan tempat dan bahawa vitaliti ini sanggup membangkitkan bangsa dan umat dan menyerahkan kepimpinan dunia kepada mereka selagi ada hati yang peka lagi bersih, akal yang cerdas, fikiran yang terbuka, keikhlasan yang sempurna dan kerja yang sungguh-sungguh.
Barangkali buku kami ini adalah yang paling lengkap mengenainya dalam Bahasa Arab hingga sekarang. Kami memohon kepada Allah Ta’ala supaya memberi taufik kepada kami untuk menerangkan aspek-aspek selain daripada kehidupan dan peninggalan Ustadz Nursi pada masa yang akan datang.
Buku ini terdiri dari tiga bahagian:
Bahagian Pertama mencakupi riwayat hidup beliau dengan agak terperinci.
Bahagian Kedua adalah kajian analisis terhadap risalah-risalah an-Nur iaitu risalah-risalah yang beliau karang selama 23 tahun daripada kehidupan yang beliau lalui di antaranya penjara, pengasingan dan pengusiran.
Bahagian Ketiga adalah contoh-contoh yang dinukilkan dan diterjemahkan dari risalah-risalah an-Nur yang lengkap.
Dalam setiap bahagian kami telah merujuk kepada sumber-sumber utama dalam bahasa Turki, baik yang tercetak mahupun yang berbentuk manuskrip.
Kami berdoa kepada Allah semoga amal kami ini yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya Dia adalah Maha Dekat lagi Maha Mengabulkan doa.
Kami akhiri doa dengan alhamdulillahi rabbil ‘alamin.
Pengarang,
IHSAN QASIM AS-SALIHI
No Voice