Dia melihat para makhluk tersebut melakukan sujud dalam keadaan penuh tersusun ketika menghilangkan diri bersama sujud ketika tenggelam matahari sambil bertakbir membesarkan Allah dengan berkata (Allahu akbar). Segala makhluk itu akan dibangkit dan diutuskan semula pada musim bunga dengan cara yang sama, iaitu melalui satu laungan yang menghidup dan menyedarkan kembali, yang lahir daripada arahan melalui perkataan (kun fayakun). Setelah itu seluruh makhluk akan bangkit dan sedar dalam keadaan penuh ketundukan dan khuyuk terhadap perintah tuhan mereka. Sebagai mengikut perbuatan makhluk-makhluk tersebut, manusia yang lemah ini turut melakukan sujud di hadapan kebesaran Allah yang maha pengasih yang mempunyai kesempurnaan dan yang maha mengasihani yang mempunyai keindahan dengan berkata (Allahu akbar) dengan penuh kasih sayang yang melimpah dengan kekaguman dan dengan kelapangan yang dipenuhi dengan kekekalan dan dengan kehinaan yang diselaputi dengan kemegahan.
Tidak syak lagi wahai saudaraku, jika anda memahami bahawa menunaikan sembahyang isyak merupakan ketinggian dan peningkatan yang menyerupai mikraj, maka alangkah indah tugas tersebut! Alangkah manis kewajipan itu! Alangkah tinggi khidmat tersebut! Alangkah mulia dan lazat ubudiyyah itu! Alangkah layak ia sebagai suatu hakikat yang tertanam kukuh!
Jadi semua waktu-waktu sembahyang itu adalah isyarat kepada pertukaran masa yang hebat! Ia juga adalah tanda-tanda yang menunjukkan kepada tindakan-tindakan rabbani yang agung. Ia juga adalah alamat-alamat kepada kenikmatan-kenikmatan ilahi yang menyeluruh. Oleh itu, mengkhususkan waktu-waktu tersebut untuk menunaikan sembahyang fardhu -yang merupakan hutang fitrah semulajadi- adalah mengandungi hikmat yang amat agung.