Waktu isyak pula menghilangkan saki baki tanda waktu siang. Pada waktu itu, malam melabuhkan langsirnya ke atas dunia. Ia mengingatkan kepada tindakan-tindakan rabbani bagi tuhan yang bersifat menukarkan balikkan malam dan siang. Dialah tuhan yang maha berkuasa lagi mempunyai kebesaran untuk menukarkannya lembaran putih dengan lembaran hitam. Ia juga mengingatkan kepada perbuatan-perbuatan ilahi bagi tuhan yang sentiasa memudahkan perjalanan matahari dan bulan. Dialah tuhan yang maha bijaksana lagi mempunyai kesempurnaan dalam perbuatanNya menukar balikkan lembaran hijau yang dihiasi dengan pelbagai hiasan pada musim panas kepada lembaran putih yang sejuk pada musim dingin.. Ia juga mengingatkan kepada hal ehwal ilahi bagi tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan melalui hilangnya tanda-tanda yang ditinggalkan oleh orang-orang yang telah meninggal dunia dengan berlalu masa yang panjang setelah mereka berpindah sepenuhnya ke alam yang lain. Oleh itu, ia adalah waktu yang mengingatkan kepada tindakan dan perlakuan ilahi yang maha agung, yang mengingatkan kepada penjelmaan-penjelmaan indah bagi tuhan yang mencipta langit dan bumi ini, dan yang mengingatkan kepada terbongkarnya alam akhirat yang luas, lapang, kekal dan agung. Ia juga mengingatkan kepada kematian dunia yang sempit, fana’ dan hina serta kemusnahannya secara total melalui sakratul mautnya yang menggerunkan. Ia adalah tempoh atau keadaan yang membuktikan bahawa pemilik hakiki alam ini, bahkan tuhan hakiki yang berhak disembah dan dikasihi mestilah bersifat boleh dan mampu menukar balikkan siang dan malam, musim sejuk dan musim panas, dunia dan akhirat dengan mudah semudah membalik-balikkan lembaran-lembaran buku, lalu dia boleh menulis, merakam, memadam dan menukar dengan mudah sesuka hatinya. Hanya Allah tuhan yang maha berkuasa secara mutlak, yang hukumnya terlaksana ke atas semua makhluk sahaja boleh melakukannya.