Alangkah lazatnya! Alangkah patut ia dilakukan! Alangkah besar keperluannya! Oleh itu, adakah wajar seseorang manusia masih menganggap dirinya sebagai manusia jika dia tidak memahami hakikat ini?
Ketika waktu asar mengingatkan kepada musim yang menyedihkan iaitu musim luruh. Ia juga mengingatkan kepada zaman tua yang menyedihkan dan hari-hari yang menyedihkan pada akhir zaman. Ia juga mengingatkan kepada zaman di mana hasil segala amalan harian akan diperlihatkan. Ia adalah masa memperoleh dan mendapat seluruh nikmat Allah yang tidak terhitung itu, seperti nikmat kesihatan, keafiatan dan kesempatan melaksanakan segala khidmat yang baik. Ia juga adalah waktu untuk mengisytiharkan bahawa manusia adalah tetamu yang diperintah dan bahawa segala benda pasti akan hancur, tidak ada satu pun yang kekal dan tetap. Keadaan ini diisyaratkan oleh kedudukan membongkok matahari yang besar itu ketika ia mula mahu tenggelam.
Ya, sesungguhnya ruh manusia yang sentiasa inginkan keabadian dan keberkekalan, dan memang ia dicipta untuk kekal abadi, dan ruh manusia yang sentiasa inginkan kebaikan dan merasa sakit apabila berpisah.. ruh ini membangkitkan manusia pada waktu asar untuk mengambil wudhuk seterusnya menunaikan sembahyang asar agar bermunajat di hadapan pintu Allah yang maha kekal dan berlindung mendapatkan kelebihan rahmat Allah yang maha luas. Ruh itu juga mengajak manusia agar mempersembahkan kepada Allah kesyukuran dan pujian terhadap nikmatNya yang tidak terhitung. Lalu ia rukuk dengan penuh kehinaan dan ketundukan di hadapan kemuliaan rububiyyah Allah SWT, kemudian ia sujud dengan penuh tawaduk dan fana’ di hadapan keabadian uluhiyyah Allah. Ruh ini akan memperoleh hiburan yang hakiki dan kerehatan yang sempurna bagi ruhnya ketika ia berdiri melakukan ubudiyyah dengan sempurna dan persediaan yang lengkap ketika berhadapan dengan keagungan kebesaran Allah SWT. Alangkah mulia tugas melaksanakan sembahyang asar dengan pengertian ini! Alangkah layaknya tugas yang dilaksanakan ini! Bahkan alangkah layaknya waktu untuk melunaskan hutang fitrah! Alangkah besarnya kejayaan memperoleh kebahagiaan dengan penuh kelazatan! Hanya manusia yang sebenar sahaja dapat memahami hakikat ini.