Dia bertasbih dengan berkata (subhana rabbiya al-‘azim). Kemudian dia bersujud di hadapan keindahan zat Allah yang tidak akan binasa dan di hadapan sifat-sifatNya yang suci dan tidak akan berubah dan di hadapan kesempurnaan keabadianNya yang tidak akan bertukar ganti. Dia mengisytiharkan kasih sayang dan ubudiyyahnya dengan penuh kekaguman, tenggelam dalam perasaan fana’ dan kehinaan dengan meninggalkan selain Allah dengan berkata (subhana rabbiya al-a’la) yang bermaksud maha suci tuhan yang maha tinggi, yang wujud, yang indah, yang kekal, yang mengasihani, yang abadi dan yang menggantikan segala yang musnah. Dengan itu dia menyucikan tuhannya yang maha tinggi itu dan yang tidak akan musnah dan terlepas daripada sebarang kekurangan, lalu dia duduk untuk melakukan tasyahhud dengan mengemukakan ucapan tahiyyat dan selawat yang diberkati menggunakan namanya mewakili seluruh makhluk sebagai hadiah kepada tuhan yang sentiasa indah dan tuhan yang sentiasa besar serta mulia. Dalam masa yang sama, dia juga memperbaharui bai’ahnya dengan Rasul yang mulia dengan mengucapkan salam ke atasnya dan menzahirkan ketaatan terhadap segala arahannya. Dia melihat susunan yang indah dalam istana seluruh alam ini yang memperlihatkan kepadanya keesaan tuhan yang menjadikannya dan bersifat dengan segala ketinggian. Dengan itu imannya diperbaharui dan diberikan cahaya. Kemudian dia bertasyahhud pula kepada penunjuk rububiyyah, penyampai keredhaan, penterjemah ayat-ayat kitab alam semesta yang besar ini, iaitu Muhammad yang berbangsa Arab SAW. Alangkah lembut dan alangkah sucinya penunaian sembahyang maghrib! Alangkah agungnya tugas yang itulah kandungannya! Alangkah mulia dan alangkah manisnya tugas ini! Alangkah indah dan lazatnya ubudiyyah ini! Alangkag agungnya hakikat yang kukuh ini! Demikianlah bagaimana kita melihat sembahyang maghrib sebagai persahabatan yang mulia dan majlis yang diberkati serta kebahagiaan yang kekal abadi dalam pertamuan yang sementara di dunia yang fana’.. Adakah orang yang tidak memahami perkara ini masih menyangka dirinya manusia?