Perkataan pendek | Perkataan pendek | 66
(1-69)
Ruh manusia berada dalam keadaan amat lemah dan amat memerlukan. Ia juga amat bingung berada dalam kegelapan masa depan dan ketakutan terhadap apa yang disembunyikan oleh hari-hari yang mendatang. Keadaan ini mendorong manusia untuk tidak teragak-agak lagi mengulang-ulangi ketika menunaikan sembahyang Isyak sebagaimana dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim AS yang berkata (aku tidak suka kepada yang terbenam hilang). Dengan sembahyang tersebut, dia berlindung di hadapan pintu tuhan yang disembah dan dikasihi selama-lamanya. Dia juga bermunajat kepada tuhan yang kekal abadi di dunia dan alam yang akan binasa, dalam kehidupan dan masa depan yang gelap, bagi menyebarkan cahaya melalui persahabatan ringkas dan munajat yang sebentar. Juga untuk menyinarkan masa depannya dan merawat luka kerana kehilangan dan berpisah dengan benda wujud, teman, rakan dan kekasih dengan menyaksikan curahan rahmat Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani serta memohon cahaya hidayahNya. Dengan itu, dunia yang telah menjadi jinak kepadanya akan dilupakan, iaitu dunia yang akan tersembunyi sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang Isyak. Dia mencurahkan pengaduan hatinya dan kesedihan dadanya di atas pintu rahmat tersebut, demi melaksanakan tugas ubudiyyahnya secara penuh dan sempurna sebelum dia meneruskan perjalanan memasuki jalan yang masih belum diketahui akibatnya dan apakah yang akan berlaku selepasnya, kerana selepas itu dia akan tidur yang menyerupai kematian. Oleh itu, dia akan mengakhiri buku amalan hariannya dengan husnul khatimah (kesudahan yang baik). Demi kerana semua itulah dia menunaikan sembahyang. Dia akan menjadi mulia kerana mematuhi segala arahan tuhan yang disembah, dikasihi dan kekal daripada mematuhi segala kekasih yang akan binasa. Dia juga menjadi mulia kerana tegak berdiri di hadapan tuhan yang maha berkuasa lagi maha mulia, bukan di hadapan makhluk yang lemah dan sentiasa meminta-minta daripada orang lain. Dia juga menjadi mulia kerana mematuhi tuhan yang maha memelihara lagi maha mengasihani, lalu dia terselamat daripada kejahatan makhluk-makhluk memudaratkan yang dia gentarkan.
No Voice