Ruh manusia pada waktu ini, iaitu pada waktu fajar amat perlu untuk mengetuk pintu Allah yang maha berkuasa lagi maha mulia dengan doa dan sembahyang.. pintu Allah yang maha mengasihani lagi mempunyai keindahan. Ruh manusia itu hendaklah mempersembahkan keadaannya di hadapan Allah, memohon taufiq, pertolongan dan bantuanNya. Alangkah besar keperluan ruh tersebut kepada suatu sandaran yang kukuh untuk menanggung pekerjaan dan tugas yang sedang menantinya serta bebanan yang bakal diletakkan di atas bahunya pada siang hari tersebut? Bukankah perkara ini boleh difahami dengan mudah dan senang?
Pada waktu zuhur pula, adalah waktu kemuncak kesempurnaan siang hari yang beransur menuju waktu petang dengan tergelincir matahari, iaitu waktu penyempurnaan segala kerja-kerja harian dan waktu meluangkan sedikit masa untuk berehat setelah penat melakukan pekerjaan.. ia adalah waktu untuk ruh menarik nafas dan berehat daripada kealpaan, kebingungan dan kekacauan yang diakibatkan oleh dunia yang binasa ini dan pekerjaan sementara yang memenatkan. Lebih-lebih lagi ia adalah waktu yang menampilkan pelbagai jenis nikmat ilahi.