Pagi hari kedua: Ia mengingatkan kepada pagi hari kebangkitan semula. Ya, sebagaimana kedatangan pagi bagi malam, dan kedatangan musim bunga bagi musim sejuk merupakan suatu perkara yang boleh difikir, dianggap logik, diperlukan dan pasti berlaku, maka kedatangan pagi hari kebangkitan semula dan musim bunga alam barzakh merupakan juga dua perkara yang mempunyai keyakinan pasti akan berlaku yang sama.
Oleh itu, setiap waktu daripada kelima-lima waktu tersebut merupakan permulaan kepada satu pertukaran yang hebat. Ia mengingatkan kepada pertukaran-pertukaran lain yang juga hebat. Ia juga mengingatkan kepada mukjizat Allah dan hadiah rahmat ilahi sama ada secara tahunan, semasa atau selama-lamanya melalui isyarat-isyarat tindakan agung yang berlaku secara harian itu.
Ini bermakna bahawa sembahyang fardhu yang merupakan tugas fitrah dan asas ‘ubudiyyah serta hutang yang mesti dilunaskan amat layak dan amat sesuai sekali untuk dilaksanakan dalam waktu-waktu tersebut.
Kelima:
Secara fitrahnya, manusia adalah makhluk yang sangat lemah. Di samping itu alangkah banyaknya perkara-perkara yang boleh menyebabkan kedukacitaan dan kesakitannya. Manusia adalah makhluk yang amat lemah, sedangkan musuh dan musibahnya amat banyak. Manusia amat fakir sedangkan hajatnya amat banyak. Manusia adalah makhluk yang malas dan tidak mempunyai kekuatan sedangkan bebanan kehidupan amat berat. Kemanusiaannya menjadikannya terikat dengan seluruh alam ini sedangkan perpisahan dengan apa yang disayanginya dan kehilangan suatu yang disukainya amat menyakitkannya. Akalnya sentiasa memperlihatkan kepadanya matlamat-matlamat yang mulia dan hasilnya yang kekal abadi, namun tangannya singkat tidak dapat mencapainya, umurnya juga pendek, kudratnya terhad dan kesabarannya sedikit.