Kedua:
Makna ibadah ialah sujud seorang hamba dalam keadaan penuh kasih sayang yang murni, penuh penghargaan dan penuh kekaguman ke hadrat Ilahi di hadapan kesempurnaan rububiyyah, qudrah dan rahmat Ilahi dengan mengakui segala kecuaian, kelemahan dan keberhajatan dirinya.
Ya, sebagaimana kesultanan rububiyyah menuntut ‘ubudiyyah dan ketaatan, maka kesucian dan kemurniannya juga menuntut agar hamba mengisytiharkan di samping istighfar lantaran pandangannya yang singkat bahawa tuhannya adalah suci daripada sebarang kekurangan, bahawa tuhannya adalah tertinggi daripada sebarang pemikiran ahli kesesatan dan kebatilan, dan bahawa tuhannya suci daripada sebarang kecuaian dan kekurangan para makhlukNya. Dia hendaklah mengisytiharkan kesemua itu melalui tasbihnya dengan berkata ‘subhanallah’.
Begitu juga, qudrah rububiyyah yang sempurna menuntut daripada hamba agar memohon perlindungan daripadaNya sahaja. Si hamba juga hendaklah hanya bertawakkal kepadaNya sahaja dengan melihat keadaan dirinya yang amat lemah dan kelemahan makhluk-makhluk lain dengan berkata ‘Allahu akbar’ dalam keadaan penuh kekaguman, penghargaan dan memandang baik terhadap kebesaran kesan qudrah Ilahi dengan melakukan rukuk dengan penuh tawadhuk dan khusyuk.
Begitu juga, rahmat Ilahi yang maha luas itu menuntut agar si hamba memperlihatkan keberhajatan dan kefakirannya secara khusus dan keberhajatan para makhluk yang lain secara umum dengan melakukan permintaan dan doa. Si hamba juga hendaklah mengisytiharkan ihsan yang telah dilakukan oleh tuhannya serta segala nikmatnya yang tidak terhitung dengan bersyukur, memuji dan memujaNya dengan berkata ‘alhamdulillah’.
Ini bermakna bahawa segala perbuatan dan perkataan yang dilakukan dalam sembahyang mengandungi pengertian-pengertian ini. Kerana pengertian-pengertian inilah, maka sembahyang difardhukan oleh Allah SWT.