Contohnya: Engkau menyaksikan permukaan bumi ini dihiasi dengan pelbagai jenis perhiasan yang berlapis-lapis, yang terdiri daripada pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang cukup tersusun dan amat indah serta permai. Engkau juga melihat bahawa semua tempat dihiasi bermula daripada hujung kepala hingga ke hujung kaki, amat indah sekali. Engkau juga menyaksikan bumi ini berputar di sekitar satu pusat putaran persis seperti putaran yang dilakukan oleh penganut tariqat Maulawiyyah[1] yang berputar di sekitar satu pusat putaran dalam keadaan penuh kasih sayang (hubb) dan rindu (shawq), serta dalam keadaan amat teratur dan tersusun kerana memenuhi matlamat tertentu.
Dalam masa yang sama, engkau juga melihat bagaimana peristiwa gempa bumi[2] yang berlaku seperti goncangan bahagian tepi bumi yang melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap bebanan maknawi yang lahir daripada kerja buat ummat manusia, terutamanya ahli iman di kalangan mereka. Bagaimana mungkin peristiwa yang menyebabkan kehilangan ribuan nyawa itu berlaku tanpa sengaja dan tanpa matlamat, sebagaimana disebarkan oleh seorang mulhid yang menyangka bahawa ia hanyalah berlaku secara kebetulan. Sebenarnya dia telah melakukan satu kesilapan yang keji dan kezaliman yang nyata! Ini adalah kerana dia telah menjadikan segala harta dan jiwa yang hilang itu hilang dengan sia-sia dan menjadikan mereka berada dalam keadaan kekecewaan yang amat sangat. Sedangkan kejadian seumpama itu sebenarnya menjadikan harta-harta orang yang beriman tersimpan di dalam khazanah simpanan dan menukarnya dengan perintah Tuhan Yang Maha Bijaksana Lagi Maha Mengasihani kepada sedekah buat mereka. Ia juga menjadi penghapus dosa yang lahir daripada sikap tidak mensyukuri nikmat yang diperoleh.
Nanti juga akan datang suatu hari di mana bumi yang indah ini bertukar menjadi hodoh kerana hiasannya telah dicemari oleh kesyirikan amalan yang dilakukan oleh manusia dan dikotori oleh kekufuran mereka. Pada ketika itu bumi ini akan membersihkan permukaannya dengan suatu gegaran dengan perintah Tuhannya Yang Maha Mencipta. Bumi akan membersihkan permukaannya dengan mengosongkannya daripada dihuni oleh ahli syirik lalu memasukkan mereka ke dalam neraka jahannam dengan perintah tuhannya, dan menyeru ahli kesyukuran: "Dipersilakan masuk ke dalam syurga."
[1]Ini adalah satu perumpaan halus dengan seorang murid dari tariqah Mawlawiyyah yang berputar di sekitar dirinya dan halaqat zikir dengan penuh kemanisan kerana khusyuk dan zikir. Al-Mawlawiyyah ialah sebuah tariqat tasauf yang banyak tersebar di Turki. (Penterjemah: Ihsan Qasim al-Salihi)
[2]Tulisan ini dibuat sempena kejadian gempa bumi yang berlaku di