Setelah berlalu beberapa lama selepas mendengar perkataan tersebut, saya dapati diri saya turut mengungkapkan perkataan yang sama!! Lalu saya membuat pemerhatian terhadap perkataan tersebut dalam tempoh yang agak lama. Tiba-tiba saya dapati perkataan tersebut sebenarnya telah mengambil pengajaran yang sama daripada syaitan melalui jalan kemalasan. Ketika itu saya memahami bahawa seolah-olah lelaki tersebut mengungkapkan atau diungkapkan dengan perkataan itu sebagai mewakili lidah keseluruhan jiwa yang al-ammarah bi al-su’ (yang sentiasa menyuruh melakukan keburukan). Lalu saya berkata: Oleh kerana jiwa yang saya miliki adalah jiwa yang ammarah bi al-su’, maka saya hendaklah memulakan dengannya, kerana sesiapa yang tidak mampu memperbaiki dirinya sendiri, maka sudah pasti dia tidak akan mampu memperbaiki jiwa orang lain. Lalu saya berdialog dengan jiwa saya dengan berkata:
Wahai jiwaku! Dengarlah
Peringatan Pertama
Wahai jiwaku yang celaka! Adakah umur engkau abadi? Adakah engkau mempunyai janji yang diyakini bahawa engkau akan terus hidup pada tahun hadapan, bahkan pada esok hari sekalipun? Apa yang menjadikan engkau jemu dan bosan daripada pengulangan sembahyang berkali-kali ialah kerana engkau menyangka bahawa umur engkau adalah kekal abadi. Engkau memperlihatkan diri engkau dengan segala kemewahan yang engkau miliki seolah-olah engkau kekal abadi di atas dunia ini.