Sesungguhnya hati yang bergantung dengan hampir keseluruhan benda-benda wujud yang datang dan pergi dengan cepat di atas dunia yang fana’ ini, tidak akan dapat meneguk air kehidupan melainkan dengan menuju kepada punca air kerahmatan Tuhan yang disembah lagi kekal dan kekasih yang abadi dengan menunaikan sembahyang.
Sesungguhnya rahsia kemanusiaan yang mempunyai perasaan yang halus, iaitu rahsia nurani ketuhanan yang dicipta dalam diri manusia untuk kekal selama-lamanya dan yang merindukan Allah secara fitrahnya, juga yang merupakan cermin bagi membalikkan jelmaan diri Allah SWT, sudah pasti amat perlu kepada udara untuk bernafas dalam menjalani kesibukan, kekerasan dan tekanan keduniaan yang membinasa, menjerut, berlalu dan menggelapkan. Semua itu tidak dapat dilakukan melainkan dengan menyedut udara daripada tingkap sembahyang yang ditunaikan.
Peringatan Ketiga
Wahai jiwaku yang berkeluh kesah! Hari ini engkau merasa resah dan gundah kerana mengingatkan kepenatan beribadat yang telah engkau lakukan pada masa-masa yang lalu dan kesukaran bersembahyang serta kesibukan musibah yang telah menimpa. Kemudian engkau juga memikirkan tentang kewajipan beribadat pada hari-hari akan datang serta khidmat yang perlu dilakukan untuk menunaikan sembahyang serta kesakitan musibah yang mesti dihadapi. Oleh itu, engkau menjadi bimbang, kurang sabar, bahkan hilang sabar. Adakah keadaan ini patut lahir daripada seseorang yang berakal?