Kalimah Kedua Puluh Satu | Kalimah Kedua Puluh Satu | 7
(1-25)

Sesungguhnya sembahyang adalah makanan bagi hati engkau yang lemah lagi fakir. Ia juga adalah ketenangan bagi hati di tempat persinggahan yang sementara ini, iaitu dunia. Ia juga adalah makanan dan cahaya bagi kediaman yang pasti engkau akan ke sana nanti, iaitu kubur. Ia juga adalah janji setia dan pelepasan ketika berada di mahkamah agung yang pasti engkau akan dibawa ke sana nanti. Sembahyang juga akan menjadi cahaya dan kenderaan buraq ketika engkau meniti di atas titian al-sirat al-mustaqim yang sudah pasti engkau akan melaluinya nanti… Jika demikianlah ganjaran yang akan diperolehi daripada sembahyang yang ditunaikan, maka adakah ia tidak mempunyai sebarang natijah dan faedah? Atau adakah ia mempunyai ganjaran yang sedikit?

 

Jika ada seseorang berjanji akan memberikan hadiah kepada engkau sebanyak 100 lira dengan syarat engkau hendaklah bekerja dengannya selama seratus hari, maka engkau akan berusaha keras untuk bekerja tanpa jemu dan bosan dengannya hanya bersandarkan janjinya. Sedangkan dia mungkin memungkiri janjinya itu. Bagaimana keadaannya jika engkau dijanjikan oleh seseorang yang sama sekali tidak pernah memungkiri janjinya?? Memungkiri janji di sisinya adalah mustahil! Dia berjanji akan memberikan balasan pahala dan ganjaran yang besar, iaitu syurga, serta hadiah agung iaitu kebahagiaan yang kekal abadi, dengan syarat engkau hendaklah menunaikan satu kewajipan dan tugas yang kecil lagi merehatkan dalam tempoh waktu yang amat pendek sekali. Tidakkah engkau terfikir bahawa jika engkau langsung tidak menunaikan tugas dan khidmat yang kecil itu atau engkau menunaikannya tanpa perasaan suka kepadanya atau engkau hanya menunaikannya kadang-kadang, tidakkah engkau terfikir bahawa engkau sebenarnya telah memperkecil-kecilkan hadiahnya dan mempersoal serta tidak mempercayai janjinya?
No Voice