Kalimah Kedua Puluh Satu | Kalimah Kedua Puluh Satu | 8
(1-25)

Dengan demikian, tidakkah engkau layak untuk diajar dan diseksa dengan seksaan yang pedih? Tidakkah perkara-perkara ini membangkitkan keazaman engkau untuk menunaikan tugas yang amat mudah dan ringan ini kerana takutkan penjara abadi iaitu neraka jahannam? Sedangkan engkau sanggup melakukan kerja-kerja yang sukar dan memenatkan tanpa jemu dan bosan kerana takutkan penjara dunia? Apalah sangat penjara dunia ini jika dibandingkan dengan penjara jahannam yang abadi itu?

 

Peringatan Kelima

 

Wahai jiwaku yang cintakan dunia! Adakah kelesuan engkau beribadat dan kecuaian engkau menunaikan sembahyang berpunca daripada kesibukan keduniaan engkau yang banyak? Atau adakah kerana engkau tidak mempunyai peluang kerana gelisah terhadap tuntutan hidup yang menekan?!

 

Alangkah ajaibnya! Adakah engkau diciptakan untuk kehidupan dunia ini semata-mata, sehingga engkau menghabiskan segala masa yang ada kerananya sahaja? Perhatikanlah!!! Dari sudut kekuatan, kekuatan engkau tidakpun menyamai kekuatan seekor burung yang paling kecil untuk memperoleh segala keperluan hidup, meskipun engkau adalah makhluk Allah yang paling mulia secara fitrahnya. Kenapakah engkau tidak memahami daripada keadaan ini bahawa tugas asal engkau, bukanlah untuk tenggelam di dalam kehidupan dunia dan bertungkus lumus kerananya semata-mata seperti binatang, tetapi tugas engkau ialah berusaha secara berterusan demi kehidupan abadi selayaknya engkau sebagai seorang manusia sebenar? Lebih daripada itu, kebanyakan perkara yang menjadi kesibukan keduniaan engkau hanyalah kesibukan yang langsung tidak mendatangkan faedah. Ia hanyalah perkara-perkara yang engkau campurtangan di dalamnya tanpa ada kepentingan.
No Voice