Engkau sebenarnya membuang masa engkau yang berharga pada sesuatu yang tidak bernilai, tidak ada keperluan dan tidak ada faedah… seperti berusaha untuk mengetahui bilangan ayam yang ada di Amerika! Atau untuk mengetahui jenis gelang yang mengelilingi planet Zuhal. Seolah-olah dengan mengetahuinya engkau mendapat sedikit ilmu tentang astronomi dan perangkaan!! Dengan sebab itu, engkau meninggalkan sesuatu yang diperlukan, sesuatu yang lebih penting dan lebih mesti, seolah-olah engkau akan dipanjangkan umur selama ribuan tahun lagi?
Jika engkau berkata: “Yang memaling dan melemahkan aku daripada sembahyang dan ibadat bukanlah perkara-perkara remeh temeh seperti yang disebutkan. Tetapi ia adalah perkara yang amat diperlukan demi kelangsungan kehidupan ini.” Jadi, dengarkanlah daripadaku perumpamaan berikut:
Upah harian yang diperoleh oleh seseorang ialah sebanyak seratus qurush. Kemudian dia dipanggil oleh seorang lelaki yang berkata: “Kemarilah! Gali lubang di sini selama sepuluh minit kemudian engkau akan menemui batu permata yang indah seperti zamrud yang nilainya ialah seratus lira.” Alangkah gila dan alasan yang tidak menasabah jika dia menolaknya dengan berkata: “Tidak! Saya tidak akan lakukan, kerana upah harian saya akan berkurangan!”
Demikian jugalah keadaan engkau. Jika engkau meninggalkan sembahyang yang difardhukan, maka segala hasil daripada usaha dan amalan engkau dalam taman tersebut akan terbatas pada perbelanjaan keduniaan yang sedikit tanpa engkau mendapat faedah dan keberkatannya. Sedangkan jika engkau menggunakan waktu rehat engkau ketika waktu kerja untuk menunaikan sembahyang yang merupakan wasilah bagi kerehatan jiwa dan pernafasan hati, maka engkau dapat menambah perbelanjaan dan bekalan akhirat di samping perbelanjaan keduniaan engkau yang akan diberkati. Ini engkau akan peroleh melalui sumber yang agung iaitu melalui dua khazanah maknawi yang kekal, iaitu: