Jika engkau memahami bahawa umur engkau adalah pendek dan bahawa ia berlalu secara sia-sia tanpa sebarang faedah, maka tidak diragukan lagi bahawa menggunakan sebahagian daripada dua puluh empat bahagian daripadanya demi menunaikan satu khidmat yang baik dan tugas yang merehatkan, yang merupakan rahmat kepada engkau dan wasilah untuk memperoleh kehidupan yang bahagia lagi abadi, menggunakan sebahagian daripada waktu itu tidaklah boleh menjadi sebab kejemuan dan kebosanan, bahkan ia adalah wasilah yang membangkitkan kerinduan yang sejati dan perasaan yang indah.
Peringatan Kedua
Wahai jiwaku yang haloba! Setiap hari engkau memakan roti, meminum air dan menyedut udara untuk bernafas. Tidakkah perbuatan yang engkau lakukan secara berulang-ulang itu menyebabkan engkau merasa jemu dan bosan? Tidak syak lagi jawapannya ialah tidak. Kerana berulang-ulang melakukan sesuatu yang diperlukan tidak menyebabkan kejemuan dan kebosanan, bahkan ia memperbaharui rasa kelazatan. Oleh itu, sembahyang yang membawa makanan bagi hatiku, air kehidupan bagi ruhku dan bayu sepoi bahasa bagi hakikat ketuhanan yang tersembunyi di dalam tubuhku pasti tidak akan menjadikan engkau jemu dan bosan selama-lamanya.
Ya! Sesungguhnya hati yang terdedah kepada pelbagai jenis kedukacitaan dan kesakitan yang tidak bersempadan, hati yang sentiasa terfitnah dengan segala cita-cita dan kelazatan yang tidak berpenghujung pasti tidak akan memperoleh kekuatan dan makanan melainkan dengan mengetuk pintu Tuhan yang maha pemurah lagi maha mulia dan yang maha berkuasa di atas segala sesuatu dengan penuh merendah diri dan pengharapan.