RISALAH RAMADAN | RISALAH RAMADAN | 7
(1-50)
Hikmah keenam:

Dari aspek penurunan al-Quran dan bulan Ramadan sebagai bulan yang menerima penurunan itu, kami bawakan satu hikmat, iaitu:
Oleh kerana al-Quran al-karim diturunkan pada bulan Ramadan, maka segala kehendak jiwa yang buruk mesti dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta hendaklah dilontarkan jauh-juah sebagai persediaan untuk menyambut khitab samawi, yang akan disambut dengan baik; sesuai dengan khitab tersebut. Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati waktu penurunan al-Quran itu, di samping berusaha menjiwai jiwa kerohanian para malaikat, iaitu dengan cara meninggalkan makan dan minum serta berqiamullail dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat suci itu baru sahaja diturunkan. Mereka mendengar dan menghayatinya dengan penuh khusyuk. Mereka mendengar kandungan khitab samawi itu untuk mencapai kedudukan dan kerohanian yang tinggi. Mereka membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah mereka mendengarnya daripada Rasulullah (s.a.w), bahkan mereka begitu tertarik mendengarnya seolah-olah mereka mendengarnya daripada Jibril (a.s), bahkan daripada Allah (s.w.t) sendiri, Yang Maha Berkata-kata lagi Azali. Kemudian al-Quran itu hendaklah dibaca dan diperdengarkan kepada orang lain sambil menjelaskan hikmat penurunannya.

Pada bulan Ramadan al-mubarak, dunia Islam bertukar menjadi seperti sebuah masjid. Alangkah besarnya masjid itu, yang setiap sudut dan penjurunya dipenuhi oleh para penghafal al-Quran al-karim. Mereka membaca kalam samawi itu sehingga didengari oleh penduduk bumi. Mereka menzahirkannya dalam bentuk yang hebat lagi menarik. Mereka melakukannya untuk membenarkan ayat suci al-Quran yang berbunyi : (( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن … )) dengan menegaskan bulan Ramadan sebenarnya ialah bulan al-Quran. Sementara orang lain yang ada dalam jemaah yang besar itu, ada di antara mereka yang mendengar bacaan para penghafal tadi dan ada yang membaca sendiri.
Alangkah buruk dan hinanya orang yang menjauhkan diri dari masjid yang suci ini , yang mempunyai kedudukan yang hebat itu, hanya kerana mengejar makan dan minum serta mengikut hawa nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan! Betapa orang itu akan diperkecilkan secara maknawi oleh ahli jemaah masjid tersebut? Begitulah keadaan orang yang tidak berpuasa pada bulan yang mulia ini. Mereka akan menjadi sasaran penghinaan dan diperkecilkan secara maknawi oleh seluruh dunia Islam.
No Voice