RISALAH RAMADAN | RISALAH RAMADAN | 9
(1-50)
Oleh itu, manusia dipertanggungjawabkan untuk berpuasa agar dia tidak terus lalai dan alpa, agar dia tidak terjerumus dengan tuntutan kehaiwanan seperti makan dan minum yang merupakan keperluan diri, dan supaya dia dapat mengelak daripada terus tenggelam di dalam syahwat dan perkara-perkara yang tidak memberikan apa-apa faedah. Melalui puasanya, dia menjadi seumpama sebuah cermin yang membalikkan sifat al-samdaniyah, yang mana dia keluar buat seketika daripada sifat kehaiwanan dan masuk ke dalam satu keadaan yang menyerupai malaikat, atau dia menjadi individu akhirat dan roh yang dapat dilihat melalui jasad kerana dia ikut serta dalam perniagaan akhirat dan menjauhkan diri daripada tuntutan dunia yang sementara ini.
Benar, Ramadan al-mubarak memberikan kehidupan yang kekal dan apa sahaja kepada orang yang berpuasa di dunia yang fana ini. Satu bulan Ramadan sahaja boleh memberikan kepada seseorang yang berpuasa hasil yang boleh diperolehi oleh orang yang hiudp selama lapan puluh tahun. Dan kedudukan Lailat al-Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan seperti yang disebut dalam al-Quran menjadi bukti kepada rahsia ini.
Misalnya, seorang raja akan menetapkan hari-hari tertentu semasa pemerintahannya atau pada setiap tahun, sama ada berdasarkan hari-hari pertabalannya atau hari-hari lain sebagai hari yang penting bagi kerajaannya. Hari-hari tersebut dijadikan hari perayaan buat rakyatnya. Pada hari itu, baginda tidak berurusan dengan rakyatnya yang setia lagi berhak itu dengan prosedur biasa, sebaliknya baginda menjadikan mereka sebagai tempat untuk menyatakan ihsan, nikmat dan kebaikannya. Baginda menjemput rakyatnya masuk ke balairong serinya tanpa ada apa-apa tabir. Layanan istimewa diberikan kepada mereka. Anugerah dan kurniaan juga turut diberikan. Begitu juga dengan perhatian yang diberikan… Begitulah juga dengan Yang Maha Berkuasa, Yang Azali, Yang Memiliki Ketinggian dan Kemuliaan, iaitu Sultan Yang Azali dan Abadi, dan Sultan Yang Maha Mulia bagi lapan belas ribu alam. Pada bulan Ramadan, Allah (s.w.t) menurunkan perintah-Nya yang mulia lagi tinggi dan al-Quran al-karim yang ditujukan kepada ribuan alam tersebut.
No Voice