RISALAH RAMADAN | RISALAH RAMADAN | 8
(1-50)
Hikmah ketujuh:

Dari aspek usaha manusia yang datang ke dunia ini untuk menanam tanaman akhirat dan untuk memperniagakan tanaman itu bulan Ramadan mempunyai pelbagai hikmat. Akan tetapi, kami ingin sebutkan satu sahaja, iaitu:
Satu pahala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan al-mubarak akan digandakan menjadi seribu. Sebagaimana yang diketahui, setiap huruf al-Quran al-karim mempunyai sepuluh pahala. Ia dikira sebagai sepuluh kebaikan dan ia menghasilkan sepuluh biji buah dari Syurga sebagaimana yang diceritakan oleh hadis Nabi (s.w.t). Pada bulan Ramadan, setiap huruf tersebut akan melahirkan seribu buah akhirat sebagai ganti sepuluhnya. Setiap huruf ayat al-Quran, seperti ayat al-Kursi akan membuka pintu di hadapan ribuan kebaikan itu supaya buah-buahan hakiki di akhirat kelak akan keluar berjuntaian. Kebaikan tersebut akan bertambah pada hari Jumaat pada bulan Ramadan dan pada malam Lailah al-Qadr pula, ia mencapai tiga puluh ribu kebaikan.
Benar, al-Quran al-karim memberikan sebanyak 30000 buah-buahan yang berkekalan kepada setiap hurufnya. Ia menjadi seumpama pohon nurani seperti pohon Tuba di dalam Syurga yang mana pada bulan Ramadan, orang-orang mukmin mengambil buah-buahan yang sentiasa berkekalan itu, yang mencecah jutaan … Renungilah dan hayatilah perniagaan yang suci, kekal dan menguntungkan ini . Kemudian, fikirlah tentang mereka yang tidak menghargai nilai huruf-huruf yang suci ini dengan sebaik-baiknya. Alangkah besarnya kerugian yang ditanggung oleh mereka!
Begitulah, bulan Ramadan al-mubarak ini menyerupai sebuah pameran perniagaan akhirat yang sangat hebat. Ia umpama sebuah pasar yang sangat sibuk dan menguntungkan. Ia umpama tanah yang sangat subur dan kaya, yang mengeluarkan hasil-hasil akhirat. Ia umpama hujan yang turun pada musim menanam, untuk menyuburkan amalan dan keberkatannya. Ia umpama sebuah pesta yang besar dan satu perayaan yang meriah lagi suci, untuk mempamerkan lukisan pengabdian manusia terhadap keagungan dan kemuliaan Allah (s.w.t).
No Voice