Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 118
(1-132)
Isyarat Kelapan:

Manakala kasih sayang anda terhadap dunia dengan kasih sayang yang dibenarkan oleh syarak, iaitu kasih sayang anda terhadapnya yang disertakan dengan pemerhatian dan pemikiran bahawa keindahannya adalah kerana ia adalah ladang bercucuk tanam untuk akhirat dan cerminan jelmaan bagi al-asma’ al-husna, maka natijahnya di akhirat adalah:
Anda akan dikurniakan syurga seluas dunia keseluruhannya, tetapi ia tidak akan hancur sebagaimana hancurnya dunia, bahkan ia akan terus kekal abadi. Pada cerminan syurga tersebut akan diperlihatkan jelmaan-jelmaan al-asma’ al-husna dalam keadaan paling bersinar dan bercahaya, yang sebahagian sinaran dan cahayanya yang lemah telah dapat anda saksikan semasa di dunia lagi.
Manakala kasih sayang anda terhadap dunia sebagai ladang bercucuk tanam untuk akhirat, iaitu dengan menganggap ia sebagai tapak semaian yang amat kecil bagi menumbuhkan biji-biji benih agar ia bertangkai dan berbuah di akhirat, maka natijahnya ialah:
Anda akan memperoleh buah-buahan syurga yang luas seluas dunia ini seluruhnya. Di situ, segala pancaindera dan perasaan kemanusiaan yang dibawa manusia di dunia akan terbuka umpama biji-biji benih kecil itu yang pecah dan membesar dengan sempurna, kemudiannya biji-biji benih kecil itu bertangkai sebagaimana kesediaan fitrah yang menanggung keseluruhan kelazatan dan kesempurnaan.. Natijah ini dinyatakan dengan kehendak rahmat Allah yang maha luas dan hikmatNya yang mutlak. Ia juga dinyatakan secara langsung oleh hadis dan juga secara tidak langsung oleh al-Quran al-Karim.
Oleh kerana kasih sayang anda terhadap dunia bukan berdasarkan sudutnya yang hina yang merupakan punca segala kesalahan, tetapi ia adalah kasih sayang yang ditujukan kepada sudutnya yang lain, iaitu kepada al-Asma’ al-Husna dan akhirat itu sendiri, maka anda telah menjalin hubungan kasih sayang sebenar dengan dunia dan anda telah memakmurkan sudut tersebut dengan niat beribadat, sehingga seolah-olah anda melakukan ibadat dengan keseluruhan dunia ini.. Oleh itu, sudah pasti balasan pahala yang terhasil daripada kecintaan ini adalah balasan pahala yang lebih luas daripada dunia ini seluruhnya. Ini berdasarkan tuntutan rahmat dan hikmat Ilahi.
Kemudian oleh kerana kasih sayang kepada dunia itu menghasilkan kasih sayang kepada akhirat dan kerana dunia adalah ladang untuk akhirat, juga kerana kecintaan kepada Allah, juga kerana ia adalah cerminan bagi jelmaan al-asma’ al-husna, maka tidak syak lagi kasih sayang atau kecintaan ini akan dibalasi dengan sesuatu yang amat dikasihi yang lebih luas daripada dunia ini, iaitulah syurga yang luasnya adalah seluas langit dan bumi.
No Voice