Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 117
(1-132)
Isyarat Kelima:

Sesungguhnya natijah daripada kecintaan kepada rakan-rakan dan kaum keluarga yang salih sebagaimana dituntut oleh ‘kecintaan kerana Allah’ ialah bahawa anda akan dapat duduk bersama-sama mereka di atas kerusi dalam keadaan berhadapan serta berbual-bual tentang kenangan-kenangan manis yang berlaku semasa di dunia. Masa yang indah dihabisi dengan perbualan yang dipenuhi kemesraan, sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran al-Karim.
Isyarat Keenam:
Manakala natijah kasih sayang kepada para Nabi a.s. dan para salihin sebagaimana diterangkan oleh al-Quran ialah bahawa anda akan memperoleh syafaat para Nabi dan para wali yang mulia tersebut di alam barzakh, dan juga ketika berlaku kebangkitan besar di Padang Mahsyar. Di samping itu, hasil daripada kasih sayang tersebut, anda juga akan memperoleh limpahan-limpahan daripada maqam dan kedudukan serta martabat mereka yang tinggi dan selayaknya bagi mereka.
Ya, sesungguhnya hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa seseorang akan bersama-sama dengan sesiapa yang dikasihinya. Oleh itu, seseorang boleh meningkat ke maqam dan kedudukan paling tinggi berdasarkan hubungan kasih sayang yang jalinnya dengan rakannya, keterikatannya dan ikutannya kepada rakannya itu.
Isyarat Ketujuh:
Kecintaan anda terhadap sesuatu yang cantik, juga kecintaan anda terhadap musim bunga, iaitu pandangan anda terhadapnya dengan anda berkata: “Alangkah indahnya ciptaan Allah”, serta anda menujukan kasih sayang itu kepada sesuatu yang berada di sebalik sesuatu benda yang cantik dan indah yang terdiri daripada keindahan perbuatan dan bagaimana ia dilakukan dengan penuh tersusun, juga pandangan anda terhadap apa yang berada di sebalik perbuatan yang diselaraskan sebegitu rupa yang memperlihatkan keindahan penjelmaan al-asma’ al-husna, dan juga pandangan anda terhadap penjelmaan sifat-sifat yang mulia yang berada di sebalik al-asma’ al-husna itu, maka natijah kecintaan yang dibenarkan ini ialah:
Anda akan dapat menyaksikan keindahan yang ribuan kali ganda lebih indah daripada keindahan yang anda telah saksikan pada makhluk-makhluk tersebut. Iaitu anda akan dapat menyaksikan penjelmaan al-Asma’ al-Husna dan keindahan sifat-sifat yang mulia yang selayaknya dengan syurga dan negeri yang kekal abadi. Imam al-Sirhindi berkata: “Sesungguhnya segala keindahan syurga hanyalah merupakan jelmaan bagi al-asma’ al-husna.” Maka perhatikanlah ia kerana Allah!
No Voice