Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 115
(1-132)
Sesungguhnya hasil segera bagi setiap jenis kasih sayang sebagaimana yang telah disebutkan dapat dirasai oleh setiap orang melalui perasaan dalamannya. Dia pasti dapat merasakannya dan meyakininya melalui gerak hatinya yang benar.
Hasilnya di akhirat pula telah dibuktikan oleh dua belas hakikat yang bersinar daripada Kalimah Kesepuluh dan enam asas cemerlang daripada Kalimah Kedua Puluh Sembilan.
Manakala huraiannya juga telah terbukti melalui al-Quran al-Karim yang merupakan perkataan paling benar dan susunan kata-kata yang paling indah. Ia adalah kata-kata Allah tuhan yang maha mulia lagi maha mengetahui. Semuanya terbukti sama ada melalui perkataannya yang jelas, atau melalui perlambangan, kiasan dan isyarat… Oleh itu, kami berpendapat adalah tidak perlu untuk membawa bukti-bukti yang panjang berkenaan perkara ini. Perlu dinyatakan juga bahawa kami telah pun membawa bukti-bukti yang amat banyak di dalam beberapa Kalimah yang lain, juga di dalam Maqam Kedua Arab daripada Kalimah Kedua Puluh Lapan yang khusus mengenai syurga dan juga di dalam Kalimah Kedua Puluh Sembilan.
Isyarat Pertama:
Sesungguhnya kecintaan yang dibenarkan dan diberkati dengan kesyukuran kepada Allah swt terhadap segala makanan yang lazat dan buah-buahan yang enak di dunia ini, balasannya di akhirat kelak ialah makanan dan buah-buahan yang baik dan selayaknya dengan syurga yang kekal abadi.. sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran al-Karim. Kecintaan tersebut mempunyai perasaan kerinduan dan kesukaan kepada syurga dan buah-buahan yang terdapat di dalamnya. Sehinggakan buah-buahan yang anda makan di dunia dengan menyebut al-hamdulillah akan terbentuk di dalam syurga sebagai buah-buahan yang khusus dan mempersembahkan kepada anda satu keenakan daripada keenakan-keenakan syurga. Di sini (di dunia) anda memakan sebiji buah, dan di sana (di akhirat) buah tersebut akan terbentuk sebagai sebiji buah daripada buahan syurga… Oleh kerana anda telah mempersembahkan kesyukuran maknawi yang lazat dengan anda melihat pemberian nikmat Ilahi dan sapaan ketuhanan pada makanan dan buahan yang anda makan di sini (di dunia), maka di sana (di akhirat) iaitu di dalam syurga akan diserahkan kepada anda pelbagai jenis makanan dan buahan yang lazat dan enak. Ini sebagaimana dinyatakan di dalam hadis dan juga melalui isyarat-isyarat di dalam al-Quran al-Karim, juga berdasarkan kehendak hikmat Ilahi dan rahmatNya yang maha luas.
Isyarat Kedua:
Kecintaan yang dibenarkan syarak terhadap jiwa, iaitu menyintainya semasa di dunia dengan melihat kepada kekurangan bukan keindahannya, serta percubaan untuk menyempurna, menyucikan, menjaga, mengasihi dan mendorongnya kepada kebaikan, akan membuahkan hasil di akhirat nanti. Hasilnya ialah Allah swt akan memberikan para kekasih yang selayaknya dengan perbuatan-perbuatan tersebut dan juga syurgaNya. Maka jiwa yang semasa di dunia membenci dirinya sendiri dan juga membenci syahwatnya serta meninggalkan segala kesukaannya kerana Allah, dan menggunakan pelbagai peralatan yang ada padanya dengan cara yang paling baik dan sempurna, maka Allah swt akan mengurniakan kepadanya pembalasan terhadap kecintaan yang dibenar dan disertai dengan ubudiyyah kepada Allah itu dengan bidadari yang memakai tujuh puluh perhiasan syurga dengan pelbagai perhiasannya, yang bersolek dengan tujuh puluh jenis kecantikan dan keindahan, sehingga mereka kelihatan seolah-olah syurga mini yang mempunyai denyutan ruh dan kehidupan. Dengan itu, jiwa dan perasaan yang taat akan merasa tenang dan tenteram kepada perintah-perintah Allah.. Hasil ini tidak diragukan lagi akan berlaku, kerana banyak ayat-ayat al-Quran yang menjelaskannya dengan penuh yakin.
No Voice