Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 112
(1-132)
Manakala kasih sayang anda kepada benda-benda yang indah dan cantik itu hendaklah ia berlaku kerana Allah swt dan pada jalanNya, juga bagi mengenali tuhan yang mulia yang telah membuatnya sehinggakan anda berkata: “Alangkah indah ciptaanNya!” Kasih sayang ini sendiri adalah tafakkur yang mempunyai kelazatan dan kenikmatan, bahkan ia akan membuka jalan bagi merasai pelbagai kasih sayang kepada sebarang keindahan dan rindu kepada sebarang kecantikan agar anda sentiasa mengintai-ngintai untuk mencapai martabat perasaan yang lebih tinggi dan indah. Ia juga akan memperlihatkan kepada anda khazanah berharga yang tersimpan lalu orang yang melihatnya akan tenggelam di dalam kelazatan yang tinggi dan indah. Ini adalah kerana kasih sayang tersebut membuka penglihatan mata hati yang memindahkannya daripada hanya melihat kesan perbuatan tuhan yang maha membuat lagi maha mulia itu kepada melihat keindahan perbuatan-perbuatannya yang menawan, juga memindahkannya daripada hanya melihat keindahan perbuatan kepada keindahan al-asma’ al-husna Allah swt, juga daripada hanya melihat keindahan al-asma’ al-husna kepada keindahan sifat-sifatNya yang mulia, juga daripada hanya melihat kepada keindahan sifat-sifatNya yang mulia kepada keindahan zatNya yang suci itu sendiri.. Maka kasih sayang dengan cara yang dinyatakan itu adalah ibadat yang mendatangkan kelazatan dan ia juga adalah takaffur pada martabat yang tinggi serta mendatangkan kenikmatan dalam masa yang sama.
Manakala kasih sayang anda kepada para pemuda maka adalah kerana anda menyukai zaman muda anda kerana ia adalah nikmat indah yang dikurniakan Allah swt. Tidak ragu lagi bahawa anda akan mempergunakan zaman muda anda itu untuk beribadat kepada Allah swt bukan dengan membazirkannya dalam perkara-perkara bodoh dan tenggelam di dalam kesesatan. Ini adalah kerana ibadat-ibadat yang anda laksanakan pada zaman muda, ia sebenarnya adalah buah yang enak dan kekal abadi yang dihasilkan oleh zaman yang telah berlalu itu. Oleh itu, selepas anda melangkaui zaman tersebut dan usia anda telah lanjut, maka anda memperoleh hasil yang bertambah-tambah dan bertimbun-timbun serta berkekalan, serta secara berperingkat-peringkat anda terselamat daripada segala penyakit jiwa yang sentiasa memerintahkan kepada perkara-perkara yang jahat dan keburukan yang biasa dilakukan oleh kenakalan zaman muda. Anda berharap kepada Allah swt agar memberikan taufiq kepada anda supaya dapat melakukan ibadat yang lebih banyak pada zaman tua agar anda layak untuk mendapat rahmat Allah yang maha luas itu. Anda merasa janggal jika diri anda menjadi seperti golongan-golongan lalai yang hanya menghabiskan lima puluh tahun umur zaman muda dan zaman tua mereka dengan menyesali terhadap apa yang telah terluput daripada zaman muda mereka yang penuh kenikmatan itu yang hanya berlangsung selama lima atau sepuluh tahun sahaja. Ini menyebabkan ada penyair menggambarkan penyelasan dan penderitaan mereka dengan berkata:
ليت الشباب يعود يوما فأخبره بما فعل المشيب
Maksudnya: “Alangkah baik zaman muda kembali sehari. Untukku beritahu kelaku orang yang beruban.”
Manakala kecintaan anda kepada pemandangan-pemandangan yang indah terutamanya pemandangan pada musim bunga, maka ia adalah kerana anda berkeinginan untuk melihat dan mengintai-ngintai keindahan perbuatan Allah swt. Meskipun musim bunga berakhir, namun kelazatan dan kenikmatan menyaksi serta memandangnya tidak hilang, kerana gambarannya tetap kekal. Maka musim bunga itu serupa dengan surat indah rabbani yang dibuka untuk tatapan para makhlukNya. Maka khayalan anda dan musim tersebut sama seperti pita rakaman yang mengekalkan kelazatan menyaksikan pemandangan tersebut dan sentiasa memperbaharui gambaran-gambaran indah yang dibawa oleh musim bunga tersebut. Oleh itu, kasih sayang dan kecintaan anda tidaklah bersifat sementara atau diseliputi dengan dukacita dan penyesalan, bahkan ia adalah kasih sayang dan kecintaan yang murni, suci, lazat dan penuh kenikmatan.
No Voice