Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 114
(1-132)
Mukadimah
Sesungguhnya Allah swt dengan uluhiyyahNya yang mulia, dengan rahmatNya yang indah, dengan rububiyyahNya yang besar, dengan kasihan belasNya yang mulia, dengan kudratNya yang agung dan dengan hikmatNya yang halus telah menghiasi manusia yang kecil ini dengan pancaindera dan perasaan yang banyak serta beragam. Allah mengindahkan manusia dengan anggota, organ dan kelengkapan yang pelbagai agar manusia merasa dan mengecapi semua lapisan rahmatNya yang luas dan pelbagai nikmatNya yang tidak terhitung. Allah juga mahu memperkenalkan manusia dengan pelbagai kebaikanNya yang tidak terkira. Di samping itu, melalui anggota dan organ yang banyak itu, Allah juga mahu agar manusia melihat pelbagai jenis jelmaan ribuan namaNya daripada al-asma’ al-husna yang tidak terhad itu, agar manusia mengasihinya dan memberikan penghargaan yang sepatutnya.Setiap anggota, setiap kelengkapan dan setiap alat yang ada pada manusia mempunyai tugas yang tersendiri, tugasan ibadat yang khusus, kesakitan yang berlainan dan balasan pahala yang berbeza.
Sebagai contoh: Mata, tugasnya melihat kepada keindahan. Ia dapat melihat mukjizat qudrat Ilahi yang indah yang terdapat pada alam penyaksian, lalu ia menunaikan tugasnya dengan mempersembahkan kesyukuran kepada Allah melalui pandangan-pandangannya yang mengandungi kesedaran. Setiap orang tahu betapa besarnya kelazatan yang ada pada pancaindera pandangan dan betapa sengsaranya jika kehilangannya. Oleh itu, tidak perlulah dijelaskan lagi tentang kelazatan melihat dan kesakitan kehilangannya.
Contoh lain: Telinga, tugasnya mengesan isyarat-isyarat halus rahmat Ilahi yang berlegar di dunia pendengaran. Ia mendengar pelbagai jenis suara dan alunannya yang lembut dan berbagai-bagai. Ia mempunyai tugas ibadat khusus, kelazatan tersendiri dan balasan pahala yang tertentu.
Contoh lain: Deria hidu yang dapat mengesan isyarat-isyarat halus rahmat Ilahi yang merebak melalui haruman pelbagai jenis wangian dan bauan. Ia memiliki kelazatannya yang tersendiri dalam rangka ia melaksanakan kesyukurannya yang khusus, dan sudah pasti ia juga mempunyai balasan pahala yang tertentu baginya.
Contoh lain: Deria rasa yang terdapat pada mulut. Ia menunaikan tugasnya dan mempersembahkan kesyukuran maknawi dalam pelbagai bentuk melalui rasaannya terhadap pelbagai jenis makanan dan kelazatannya.
Demikianlah setiap anggota, deria dan organ manusia serta setiap anggota dalamannya yang utama seperti jantung, ruh, akal dan lainnya memiliki tugasannya yang tersendiri dan mempunyai pelbagai kelazatan yang khusus baginya sahaja. Dan satu perkara yang tidak diragukan lagi ialah bahawa Allah tuhan yang maha mencipta lagi maha bijaksana yang telah mempermudahkan anggota-anggota tersebut bagi melaksanakan tugasnya masing-masing pasti akan memberikan balasan yang sesuai dan yang berhak diperolehi oleh setiap anggota tersebut.
No Voice