Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 113
(1-132)
Manakala kasih sayang dan kecintaan anda kepada dunia, maka ia adalah kerana kecintaan anda kepada Allah swt dan demi keranaNya semata-mata. Dengan itu, segala benda yang menimbulkan ketakutan dan kegerunan yang ada di atas dunia menjadi kawan yang baik bagi anda. Anda juga boleh mengasihi dunia ini atas dasar bahawa ia adalah ladang untuk akhirat. Dengan itu anda boleh memetik setiap benda yang ada di dalamnya, yang boleh dijadikan sebagai buah yang enak di akhirat kelak, atau anda mendapatkan apa sahaja yang ada di dalamnya yang boleh dijadikan sebagai modal anda di akhirat kelak. Segala musibah dunia yang menimpa tidak sedikitpun menakutkan anda. Begitu juga kehilangan dan kemusnahannya sedikitpun tidak membimbangkan anda. Dengan itu, anda menghabiskan tempoh pemukiman anda di dunia sebagai tetamu yang dimuliakan.. Tetapi jika kecintaan anda kepada dunia sama seperti kecintaan oleh golongan yang lalai, maka kami telah berkata kepada anda berkali-kali: Diri anda akan tenggelam dan musnah lantaran kecintaan melampau yang mengcekik anda. Kecintaan itu juga akan hilang lenyap dan tidak akan mendatangkan sebarang faedah serta manfaat!
Demikianlah kami cuba untuk memperlihatkan kepada anda satu sahaja daripada ratusan akibat bagi setiap perkara yang kami telah sebutkan, ketika kecintaan dan kasih sayang anda berlaku sesuai dengan petunjuk al-Quran yang mulia. Dalam masa yang sama, kami juga telah menyebutkan secara tidak langsung tentang satu sahaja daripada ratusan kemudaratan kasih sayang dan kecintaan tersebut jika ia tidak berlaku selaras dengan perintah al-Quran al-karim.
Jika anda ingin mengetahui hasil-hasil daripada pelbagai jenis kasih sayang dan kecintaan tersebut di alam akhirat yang kekal abadi, sebagaimana yang disebutkan secara tidak langsung oleh ayat-ayat al-Quran yang terang dan nyata, maka di sini kami akan menerangkan kepada anda secara ringkas satu sahaja daripada faedah-faedah akhirat yang diperolehi daripada pelbagai jenis kasih sayang dan kecintaan yang dibenarkan syarak itu. Penerangan itu kami akan lakukan melalui sembilan isyarat, setelah kami mengemukakan satu pendahuluan, sebagaimana berikut:
No Voice