Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 110
(1-132)
* Manakala hasilnya di dunia ialah:
Kecintaan anda terhadap makanan yang lazat dan buah-buahan yang enak merupakan nikmat ilahi yang tidak dicemari oleh sebarang kesakitan. Kelazatan juga terdapat pada perbuatan bersyukur itu sendiri.Kasih sayang anda terhadap diri anda sendiri iaitu kasihan belas anda terhadapnya, serta usaha keras anda mendidik dan membersihkannya, serta menahannya daripada menuruti segala hawa nafsunya yang ingin melakukan segala kehinaan, menjadikannya mematuhi perintah anda. Maka ia tidak dapat menggoda dan mengongkong anda dengan hawa nafsunya, bahkan ia memimpin dan menuntun anda kepada petunjuk, bukan kepada hawa nafsu.
Jika kecintaan anda kepada isteri anda yang merupakan rakan perjalanan dalam kehidupan di dunia ini adalah berasaskan kepada keindahan akhlak dan ketinggian kasihan belasnya, serta kerana dia adalah pemberian daripada rahmat Ilahi, maka anda akan memberikan kasih sayang sejati dan kecintaan yang mendalam kepadanya. Isteri anda pula akan membalas kasih sayang tersebut, di samping mempunyai perasaan penghormatan dan penghargaan yang tinggi terhadap anda. Situasi ini akan sentiasa menyubur selagimana anda berdua semakin berusia. Dengan itu, anda berdua akan terus hidup di dalam kebahagiaan dan keindahan dengan izin Allah… Tetapi jika kasih sayang tersebut dibina di atas kecantikan luaran yang menjadi sasaran hawa nafsu sahaja, maka ia akan segera layu dan kering, maka kehidupan bersuami isteri juga akan turut terjejas.
Manakala kasih sayang anda kepada ayah dan ibu anda, maka ia adalah ibarat ibadat yang anda diberikan pahala kerananya selama mana ia berlaku pada jalan Allah swt. Tidak syak lagi, kasih sayang dan penghormatan anda kepada kedua-dua mereka akan bertambah ketika kedua-duanya mencapai usia yang lanjut. Anda juga akan memperoleh kelazatan rohani yang murni dan kesenangan hati yang sempurna ketika anda memberikan khidmat kepada mereka, ketika anda mencium tangan mereka berdua dan ketika anda memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada mereka dengan penuh keikhlasan. Ketika mempunyai perasaan yang tinggi dan keazaman yang kuat ini, anda menuju kepada Allah swt yang maha berkuasa dengan memanjatkan doa agar Allah swt memanjangkan umur mereka agar anda mendapat balasan pahala yang berlebihan.. Tetapi jika kasih sayang dan penghormatan tersebut hanya kerana ingin mendapat habuan dunia semata-mata dan hanya lahir daripada hawa nafsu, maka ia akan melahirkan kesakitan rohani yang kelam hasil daripada perasaan dan semangat yang rendah lagi hina, iaitu hanya ingin menjauhkan diri daripada mereka berdua, sedangkan mereka berdua adalah sebab kepada kewujudan dan kehidupan anda. Perasaan buruk itu juga lahir daripada perasaan berat menerima mereka berdua ketika usia mereka yang telah lanjut sehingga menjadi beban yang besar. Bahkan lebih dahsyat lagi jika anda bercita-cita mereka cepat mati dan sentiasa menunggu-nunggu bila berlakunya!
No Voice