Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 107
(1-132)
Melalui perumpamaan ini, perhatikanlah dua nama sahaja daripada al-Asma’ al-Husna iaitu al-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Anda akan dapati bahawa seluruh orang-orang beriman yang terdiri daripada para bapa, datuk terdahulu, semua orang yang dikasihi, kaum kerabat dan kawan-kawan, kesemua orang-orang yang anda sayangi, kasihi dan cintai itu diberikan pelbagai jenis nikmat yang lazat, kemudian mereka digembira dan dibahagiakan pula di akhirat dengan pengurniaan nikmat yang baik dan lazat, bahkan Allah s.w.t. menambahkan lagi kenikmatan tersebut dengan memberikan kebahagiaan dan kenikmatan kerana dapat bertemu sesama sendiri dan dengan dapat melihat keindahan abadi di sana.. Maka alangkah layaknya nama al-Rahman dan al-Rahim untuk dikasihi dan dicintai! Alangkah rindunya jiwa manusia kepada kedua-duanya! Maka bandingkanlah sendiri untuk anda memahami sejauh mana kebenaran kata-kata kami di atas. Segala puji-pujian bagi Allah tuhan sekalian alam terhadap sifat pemurah dan kasih sayangNya.
Anda juga berkait dengan segala makhluk yang wujud bertebaran di seluruh alam. Anda merasa sakit dengan kesakitan yang dialami oleh mereka. Seolah-olah dunia keseluruhannya adalah kediaman anda yang cantik dan rumah anda yang disukai. Jika anda memerhatikan dengan mendalam, anda dapati kerinduan yang membara dan keperluan yang tinggi di dalam ruh anda kepada sifat atau nama al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) dan al-Murabbi (Yang Mendidik atau Mengasuh) bagi tuhan yang mentadbir makhluk-makhluk ini keseluruhannya dengan hikmat kebijaksanaan yang sempurna, susunan yang teliti, pentadbiran yang unggul dan pentarbiahan yang penyayang.
Kemudian, jika anda terus memerhatikan dengan pandangan yang mendalam, kepada kemanusiaan keseluruhannya, anda akan dapati bahawa anda tertakluk kepada mereka, merasa sakit dengan keadaan mereka yang mendukacitakan dan merasa amat merana dengan kehilangan dan kematian mereka. Tiba-tiba ruh anda merindui nama atau sifat al-Warith (Yang Maha Mewarisi) dan al-Bacith (Yang Membangkitkan), serta memerlukan kepada nama al-Baqi (Yang Maha Kekal), al-Karim (Yang Maha Mulia), al-Muhyi (Yang Menghidupkan), al-Muhsin (Yang Berbuat Kebaikan) bagi tuhan yang maha mencipta lagi maha mulia, yang menyelamatkan mereka daripada kegelapan ketiadaan dan meletakkan mereka di tempat tinggal yang lebih indah dan lebih baik daripada dunia ini.
Oleh kerana hakikat manusia adalah tinggi dan fitrahnya adalah bersifat memerlukan, maka ia memerlukan sebanyak seribu satu keperluan kepada seribu satu nama daripada al-Asma’ al-Husna dan kepada pelbagai martabat daripada setiap nama itu. Keperluan yang berganda-ganda itu ialah kerinduan. Kerinduan yang berganda-ganda itu pula ialah kecintaan. Kecintaan yang berganda-ganda pula adalah keasyikan. Sekadar mana sempurnanya ruh seseorang, maka sekadar itulah tertampilnya martabat kecintaan mengikut martabat nama-nama tersebut. Kecintaan kepada kesemua nama-nama tersebut juga akan bertukar kepada kecintaan kepada diri Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Suci, kerana nama-nama tersebut adalah tajuk dan penjelmaan diri Allah s.w.t. itu sendiri.
No Voice