Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 108
(1-132)
Sekarang kami akan menerangkan satu martabat sahaja daripada seribu satu nama daripada al-Asma’ al-Husna. Sebagai contoh, kami akan menerangkan satu martabat sahaja daripada seribu satu martabat yang terdapat pada nama-nama al-cAdl (Yang Adil), al-Hakam (Yang Bijaksana), al-Haqq (Yang Benar) dan al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Penjelasannya adalah seperti berikut:
Jika anda mahu menyaksikan bagaimana kebijaksanaan dan keadilan terkandung di dalam nama-nama al-Rahman (Yang Maha Pemurah), al-Rahim (Yang Maha Mengasihani) dan al-Haqq (Yang Benar) di dalam lingkungan yang luas dan besar, maka perhatikanlah contoh berikut:
Terdapat satu angkatan tentera yang besar mengandungi empat ratus unit yang pelbagai. Setiap unit berbeza daripada unit yang lain dengan pakaian tersendiri, makanan tertentu dan alat senjata tersendiri yang mudah digunakan, begitu juga dengan jenis rawatan yang diterima.. Meskipun perbezaan dalam semua perkara ini wujud, namun kesemua keempat-empat ratus unit tersebut tidak terpisah dan tidak terpecah kepada kumpulan-kumpulan dan puak-puak tersendiri. Bahkan kesemuanya bergabung sesama sendiri tanpa dapat dibezakan.. Jika terdapat seorang pemerintah yang mampu memberikan bagi setiap unit tersebut pakaian yang sesuai, makanan yang menasabah, rawatan yang diperlukan, senjata yang berpadanan, tanpa terlupa, keliru dan berkecamuk, dan tanpa mempunyai penolong dan pembantu, bahkan dia sendiri yang mengagih-agihkannya kepada mereka, berdasarkan sifat rahmat, kasihan belas, qudrat (kekuatan), ilmu yang mengatasi dan pengetahuan yang meliputi segala perkara, di samping keadilan terunggul dan kebijaksaan sempurna… ya jika terdapat seorang pemerintah yang demikian sifatnya yang tidak mempunyai bandingan, dan anda sendiri menyaksikan dengan mata kepala anda sendiri hasil kerjanya yang menakjub dan mengkagumkan, maka pada ketika itu, anda akan mengetahui betapa besar kekuasaan, kasihan belas dan keadilannya. Ini kerana penyediaan satu batalion tentera yang merangkumi sepuluh puak yang berbeza dengan alat kelengkapan yang berlainan serta pakaian yang beraneka, sudahpun merupakan satu tugas yang amat sukar dan sulit, sehingga terpaksa memperlengkapkan mereka dengan fesyen atau stail pakaian dan peralatan tertentu, meskipun setiap puak terdiri daripada satu bangsa tertentu sahaja.
Jika anda ingin melihat melalui perumpamaan ini bagaimana nama Allah al-Haqq (Yang Maha Benar), al-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan al-Rahim (Yang Maha Penyayang) terkandung di dalam keadilan dan kebijaksanaan, maka layangkan dan terawangkan pandangan anda ketika musim luruh kepada khemah-khemah yang didirikan di atas permukaan bumi untuk didiami oleh empat ratus ribu bangsa yang pelbagai. Mereka mewakili angkatan tentera tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Tumpukan pandangan anda kepada mereka, nescaya anda akan dapati bahawa kesemua bangsa dan etnik tersebut adalah bercampur baur. Pakaian mereka pula berbeza. Rezeki mereka juga pelbagai. Senjata mereka adalah berbeza. Cara hidup mereka juga berlainan. Latihan yang dijalani dan taklimat serta arahan yang diberikan juga berbeza. Waktu kerahan kerja dan cuti mereka juga tidak sama. Dalam masa yang sama, mereka tidak mempunyai lidah yang boleh digunakan untuk memohon agar segala keperluan dan kehendak mereka dipenuhi dan disempurnakan. Meskipun demikian, setiap mereka diurus dan ditadbir dengan nama al-Haqq, al-Rahman, al-Razzaq, al-Rahim dan al-Karim, tanpa mengalami sebarang kecelaruan dan kelupaan dalam lingkungan kebijaksanaan dan keadilan berdasarkan neraca yang teliti dan sistem yang mantap… Saksikanlah penjelmaan ini (iaitu penjelmaan nama-nama Allah tersebut dalam apa yang berlaku). Adakah mungkin orang yang lain dari Allah boleh campur tangan dalam aktiviti ini yang diuruskan dengan penuh tersusun dan sistematik serta berdasarkan pertimbangan yang amat teliti? Adakah mungkin orang lain boleh menghulurkan tangannya atas apa sebab sekalipun untuk turut serta dan campur tangan dalam perbuatan yang amat menakjubkan, pengurusan yang amat bijaksana, rububiyyah yang amat pemurah dan pentadbiran yang menyeluruh itu selain daripada Allah yang bersifat dengan keesaan, bijaksana dan berkuasa di atas segala sesuatu?
No Voice