Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 106
(1-132)
Manakala kecintaan kedua pula ialah:
Demikianlah ketika seseorang menghalakan kecintaannya kepada nikmat dan buah-buahan itu sendiri dengan penuh kelalaian, dia hanya berlazat-lazat dengan kelazatannya yang material semata-mata, maka kecintaan nafsu itu hanya kembali kepada hawa nafsunya sahaja, dan kelazatan tersebut akan hilang dan menyakitkan. Manakala jika kecintaan tersebut tertuju kepada sudut kemuliaan yang dikurniakan Allah, tertuju ke arah kelembutan rahmatNya, tertuju kepada buahan kebaikanNya, dengan menghargai segala tingkatan kebaikan dan kelembutanNya, meskipun mendapat kelazatan sepenuhnya, maka ia adalah kesyukuran maknawi, bahkan ia adalah kelazatan yang tidak akan menyebabkan kesakitan.
Noktah Ketiga:
Sesungguhnya kecintaan yang tertuju kepada al-asma’ al-husna mempunyai beberapa tingkatan. Kadang-kadang kecintaan tersebut tertuju kepada al-asma’ al-husna kerana kecintaan kepada kesan-kesan ilahi yang banyak terdapat di seluruh alam maya ini, sebagaimana yang telah kami terangkan sebelum ini. Kadang-kadang ia tertuju kepada al-asma’ al-husna kerana ia adalah lambang kesempurnaan tertinggi ilahi. Kadang-kadang seseorang manusia rindu kepada al-asma’ al-husna kerana keperluannya yang bersangatan kepadanya. Ini kerana manusia pada hakikatnya adalah seseorang yang amat memerlukan dan keperluannya tidak terbatas, sementara al-asma’ al-husna pula bersifat umum dan boleh merangkumi segalanya. Maksudnya manusia mencintai al-asma’ al-husna dengan dorongan keperluan kepada al-asma’ al-husna itu sendiri.
Kami akan jelaskan perkara ini dengan satu perumpamaan:
Bayangkan bahawa anda sedang berada dalam keadaan lemah dan amat memerlukan seseorang yang boleh membantu dan menyelamatkan kaum kerabat anda dan golongan fakir miskin, atau makhluk-makhluk lain yang lemah lagi memerlukan, yang anda sayang dan kasihan belas terhadap mereka. Tiba-tiba muncul seseorang di hadapan anda lalu memberikan kesenangan, kenikmatan dan kelazatan kepada mereka sebagaimana yang anda inginkan.. Maka bayangkanlah betapa gembiranya hati anda dan betapa lapangnya dada anda terhadap nama orang tersebut yang bersifat al-mun’im (yang memberikan nikmat) dan al-karim (yang pemurah).. Bayangkanlah juga betapa gembira dan leganya perasaan anda daripada kedua-dua nama keramat tersebut. Bahkan orang tersebut sudah pasti mendapat kekaguman dan penghargaan tinggi anda, serta kecintaan anda akan tertuju kepadanya dengan dua nama (al-mun’im dan al-karim) tersebut!
No Voice