Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 104
(1-132)
Manakala kasih sayang kepada rakan-rakan dan kawan-kawan pula, jika mereka terdiri daripada ahli iman dan taqwa, maka perasaan kasih dan sayang kepada mereka sebenarnya berada pada jalan Allah dan berpunca daripadaNya, kerana memenuhi tuntutan ‘berkasih sayang kerana Allah’.
Kemudian kasih sayang kepada isteri yang merupakan teman hidup anda, maka anda hendaklah mengasihinya sebagai suatu hadiah yang mesra dan bahagia daripada hadiah kerahmatan ilahi buat anda. Awaslah anda daripada mengaitkan kecintaan anda itu dengan ikatan kecantikan zahir yang segera hilang, bahkan anda hendaklah mengikat kasih sayang anda itu dengan keindahan yang tidak akan hilang, bahkan akan bertambah bersinar dari sehari ke sehari, iaitu keindahan akhlak, perilaku kehidupan yang baik yang tersemai di dalam kewanitaan dan kelembutannya. Keindahan paling manis dan murni yang terdapat pada seseorang isteri ialah perasaan kasihan belasnya yang suci murni lagi bersinar. Keindahan kasihan belas dan keelokan perilaku ini akan berkekalan dan semakin bertambah hingga ke penghujung umur. Dengan mengasihi kedua-duanya, segala hak makhluk yang lembut dan lemah ini akan terpelihara dan terjaga. Tanpanya pula, segala hak makhluk tersebut akan hilang daripadanya pada waktu yang dia sangat berhajat kepadanya, iaitu ketika dia kehilangan kecantikan zahirnya.
Manakala kasih sayang kepada para nabi dan para wali yang salih, maka ia juga berlaku kerana Allah s.w.t. dan pada jalanNya, dari sudut mereka adalah hamba Allah s.w.t. yang ikhlas lagi diterima di sisiNya. Dari sudut ini, kasih sayang tersebut terjadi kerana Allah.
Demikian juga dengan kehidupan ini yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada anda dan kepada manusia lain. Ia adalah modal besar yang dengannya anda mampu mendapat kehidupan akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah khazanah agung yang mengandungi segala kelengkapan dan kesempurnaan yang kekal.. Oleh itu, menjaga dan mengasihi kehidupan dari sudut ini serta mempergunakannya demi kerana Allah s.w.t. sahaja, adalah kembali kepada Allah s.w.t. juga.
Demikian juga dengan kasih sayang kepada para pemuda, ketampanan dan kelembutan mereka, serta menghargainya sebagai satu daripada nikmat Allah s.w.t. yang indah, kemudian berusaha untuk mempergunakannya dengan sebaik-baiknya, juga merupakan kasih sayang yang dibenarkan syarak, bahkan patut mendapat penghargaan.
Kemudian perasaan kasih sayang kepada musim bunga dan merinduinya adalah juga berlaku kerana Allah dan tertuju kepada nama-namaNya yang indah (al-asma’ al-husna), dari sudut bahawa ia adalah lembaran paling indah yang menampilkan cahaya jelmaan ukiran al-asma’ al-husna dan bilik pameran paling agung bagi mempamerkan keindahan seni buatan rabbani.. Maka berfikir dan mengenang musim bunga dari sudut ini adalah kasih sayang yang tertuju kepada nama-nama Allah (al-asma’ al-husna) yang maha indah.
No Voice