Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 101
(1-132)
Ayat ini berbicara dengan berkata: Sesungguhnya langit dan bumi tidak menangisi kematian ahli kesesatan. Melalui kaedah mafhum mukhalif, ayat ini menunjukkan bahawa langit dan bumi menangisi pemergian ahli iman daripada dunia ini. Maksudnya, ahli kesesatan mengingkari tugas-tugas langit dan bumi dan menuduh bahawa kewujudan langit dan bumi hanyalah sia-sia sahaja. Ahli kesesatan juga tidak memahami tugas yang dilaksanakan oleh kedua-duanya, lalu mereka tidak memberikan hak yang seharusnya diberikan kepada kedua-duanya, bahkan mereka tidak mengenali tuhan kedua-duanya dan tidak memahami bagaimana kedua-duanya menunjukkan kepada tuhan yang membuat mereka berdua. Lalu mereka memusuhi, menghina dan mencemuh langit dan bumi. Oleh itu, amat sesuailah jika langit dan bumi tidak menangisi pemergian dan kematian mereka, bahkan langit dan bumi bermohon agar mereka dicelakakan agar ia merasa kerehatan dengan kemusnahan mereka.

Berdasarkan mafhum mukhalif juga, ayat-ayat tersebut berkata bahawa langit dan bumi menangisi kematian ahli iman kerana mereka mengetahui dan menghargai tugas-tugas langit dan bumi dengan selayaknya. Mereka juga membenarkan semua hakikat langit dan bumi serta mereka memahami berdasarkan keimanan mereka tentang apakah pengertian-pengertian yang ditunjukkan oleh langit dan bumi. Setiap kali mereka membuat pemerhatian kepada langit dan bumi, mereka berkata dengan penuh takjub: “Alangkah indahnya tugas-tugas yang dilaksanakan oleh langit dan bumi!” Lalu mereka memberikan penghargaan dan penghormatan selayaknya kepada langit dan bumi. Mereka menyebarkan kasih sayang mereka kepada langit dan bumi berdasarkan kasih sayang mereka kepada Allah, iaitu kerana Allah, dengan menganggap langit dan bumi sebagai cermin yang memantulkan jelmaan nama-nama Allah yang indah (al-asma’ al-husna). Oleh itu, langit bergegar dan bumi berdukacita kerana kematian ahli iman seolah-oleh kedua-duanya menangisi kehilangan mereka.
No Voice