Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 102
(1-132)

Satu Soalan Penting

Kamu berkata:

Kasih sayang bukanlah suatu perkara yang kita mempunyai pilihan padanya. Ia tidak berada di bawah kehendak kita. Berdasarkan keperluan fitrah, saya sukakan makanan-makanan yang lazat dan buah-buahan yang enak. Saya cintakan ibu bapa, anak-anak dan isteri saya yang merupakan teman hidup saya. Saya cintakan para nabi yang dimuliakan dan para wali yang salih. Saya cintakan zaman muda dan kehidupan saya. Saya cintakan musim bunga dan semua benda yang indah. Dengan perkataan yang lebih ringkas, saya cintakan dunia ini. Bukankah saya boleh mencintai semua ini? Tetapi bagaimana saya boleh menukar semua jenis cinta ini kepada Allah s.w.t., kepada nama-namaNya yang indah, sifat-sifatNya yang mulia dan zat diriNya yang suci? Apakah maknanya ini?
Jawapan: Anda hendaklah mendengar kepada empat noktah berikut:
Noktah Pertama:
Meskipun kasih sayang atau cinta bukanlah suatu yang kita mempunyai pilihan padanya, tetapi ia boleh dialih dengan kehendak kita daripada seorang kekasih kepada kekasih yang lain. Seperti ketika keburukan dan hakikat sebenar seseorang kekasih terdedah, atau diketahui bahawa kekasih itu hanya sebagai hijab atau tirai yang menutup kekasih sebenar lagi hakiki yang lebih berhak untuk dicintai, atau sebagai cermin yang memantulkan keindahan kekasih sebenar itu. Ketika itu, kita boleh mengalihkan perasaan kecintaan itu daripada kekasih yang majazi (metafora) kepada kekasih yang hakiki.
Noktah Kedua:
Kami tidak berkata kepada anda: Berikanlah kasih sayang dan kecintaan kepada semua yang anda telah sebutkan sebelum ini. Tetapi kami berkata jadikanlah kecintaan anda kepada semua yang anda telah sebutkan itu pada jalan Allah dan juga keranaNya semata-mata:
Berlazat-lazat dengan makanan yang enak dan mengecapi buah-buahan yang sedap, dan dalam masa yang sama mengingati bahawa ia adalah kebaikan dan kenikmatan yang datang daripada Allah s.w.t. yang maha pemurah (al-Rahman) lagi maha mengasihani (al-Rahim), bermaksud kecintaan kepada nama Allah yang al-Rahman (yang maha pemurah) dan nama Allah al-Muncim (yang memberikan nikmat). Lebih dari itu, Ia juga adalah kesyukuran berbentuk maknawi. Bukti bahawa kecintaan ini bukanlah untuk diri sendiri atau kerana nafsu bahkan untuk nama al-Rahman ialah bahawa untuk mendapatkannya, hanya jalan yang halal sahaja digunakan. Di samping sifat qanacah (berpada dengan apa yang ada) yang tinggi bahawa nikmat-nikmat itu hendaklah hanya diambil daripada kawasan-kawasan yang dibenarkan sahaja. Dan ketika mengambilnya, hendaklah difikirkan bahawa ia adalah nikmat Allah yang perlu disyukuri.
No Voice