Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 25
(1-132)
Bahawa di hadapan setiap mukmin, bahkan di hadapan setiap manusia terdapat satu permasalahan besar pada ketika ini. Iaitu, bagaimanakah cara untuk memperolehi istana-istana indah yang terletak di dalam syurga-syurga yang teduh dan rendang, yang keluasannya adalah persis seperti keluasan langit dan bumi, atau seseorang itu tidak memperolehinya langsung? Ertinya, di hadapan setiap insan, terdapat satu permasalahan besar yang jika dia memiliki kekayaan dan kekuataan seperti yang dimiliki oleh negara Inggeris dan Jerman, serta dia adalah seorang yang waras dan berakal, nescaya dia akan mengorbankan seluruh kekayaan dan kekuasan tersebut bagi memenangi permasalahan yang agung ini. Kerana tidak syak lagi bahawa sesiapa yang mencurahkan tenaga dan pemerhatiannya kepada permasalahan lain adalah dianggap sebagai seorang yang gila dan kurang waras.
Bahkan keseriusan bahaya yang melingkari permasalahan ini mencapai hingga ke tahap hanya seorang daripada 40 orang di sesuatu tempat yang menerima keputusan untuk mengakhiri kehidupan mereka di atas muka bumi ini dan meninggalkannya mampu untuk mendapat kejayaan dalam permasalahan tersebut. Manakala 39 orang lagi tidak dapat memperolehinya. Ini berdasarkan apa yang disaksikan oleh salah seorang wali yang kasyaf.
Jika ada seorang peguam yang mampu untuk memenangi kes ini, seorang peguam yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang pembelaan dan telah berjaya memenangi kes bagi satu perlapan daripada orang-orang yang beriman, maka tidak pelik dan hairanlah jika setiap orang yang mempunyai sedikit kewarasan akan bersegera menyerahkan tugas memenangi kes ini kepada peguam tersebut. Ini adalah kerana kes atau permasalahan yang ingin dimenanginya itu adalah suatu kes yang mengambil seluruh perhatiannya. Salah satu peguam bagi menghadapi kes yang besar itu, dan mungkin ia adalah peguam yang terdahulu daripada peguam-peguam yang lain ialah Rasa’il al-Nur. Ia dicalonkan bagi menjalankan tugas tersebut hasil daripada kemukjizatan maknawi al-Quran al-Karim yang menjadi sumber dan puncanya. Tiada bukti yang paling kukuh tentang hal ini melainkan para saksi yang telah berjaya memenangi kes tersebut dengan menggunakan perantaraannya.
Ya! Telah terbukti dengan penuh yakin bahawa setiap manusia diutuskan ke bumi ini bagi menunaikan satu tugas, iaitu menjadi tetamu mulia dalam kehidupan yang fana’ ini. Hakikatnya pula tertuju kepada mendapatkan kenikmatan dengan kehidupan yang kekal abadi.
No Voice