Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 28
(1-132)
[Anotasi pada Maqam Kedua daripada Kalimah Ketiga Belas]

Beberapa Surat Kepada Para Banduan

Dengan Nama Allah Yang Maha Suci
Sesungguhnya para banduan amat memerlukan kepada hiburan sebenar dan ucapan takziah ikhlas yang terdapat di dalam Rasa’il al-Nur. Terutama para pemuda yang menerima tamparan pengajaran disebabkan oleh runtunan hawa nafsu, lalu mereka menghabiskan zaman remaja di dalam penjara. Keperluan mereka kepada Rasa’il al-Nur sama seperti keperluan mereka kepada roti.
Darah orang muda lebih mengikut denyutan hawa nafsu perasaan daripada menurut dan tunduk kepada seruan akal. Nafsu yang ganas tidak nampak akibat buruk yang akan menimpa. Ia lebih mengutamakan kelazatan segera walaupun nilainya hanya satu dirham jika dibandingkan dengan satu tan kelazatan yang akan datang kemudian hari. Oleh itu, seseorang pemuda sanggup untuk melakukan pembunuhan terhadap seseorang yang tidak bersalah demi untuk mendapat kelazatan membalas dendam dalam tempoh satu minit, kemudian dia terpaksa menghadapi 8 ribu jam kesakitan di dalam penjara… Seseorang pemuda juga boleh terheret untuk mendapat kelazatan yang mempalitkan kekotoran kepada maruah dirinya dalam masa satu jam sahaja kemudian sebagai akibatnya dia akan mengalami ribuan hari di dalam penjara yang dipenuhi dengan ketakutan dan kebimbangan daripada pihak musuh yang sentiasa mengintai-ngintai peluang untuk bertindak terhadapnya… Dengan itu, dia akan kehilangan kebahagiaan seumur hidupnya kerana terpaksa hidup dalam keadaan bimbang, keluh kesah dan ketakutan.
Demikianlah bagaimana para pemuda terjatuh melakukan kesalahan dan kesilapan yang besar sehingga hari-hari yang sepatutnya menjadi hari-hari yang paling manis buat mereka bertukar menjadi hari yang paling pahit sehingga berhak mereka diberikan ucapan takziah. Keadaan ini bertambah buruk terutamanya setelah taufan menggila yang datang dari Utara melanda mereka. Taufan tersebut membawa perkara-perkara fitnah yang menjahanamkan zaman ini. Fitnah tersebut ialah pendedahan kehormatan wanita muda yang jelita kepada para pemuda tersebut dan menggalakkan mereka untuk melakukan pergaulan yang menjijikkan. Fitnah itu juga turut menghalalkan harta-harta golongan kaya untuk diperolehi oleh golongan miskin yang bodoh.
No Voice