Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 30
(1-132)
Memang benar, jika seseorang pemuda bersyukur di atas nikmat zaman muda yang merupakan zaman yang indah dan permai, dengan berlaku istiqamah di atas jalan yang lurus dan menunaikan ibadat, nescaya nikmat yang dikurniakan kepadanya itu akan bertambah tidak berkurang, akan kekal tidak hilang dan akan menjadi lebih menyeronok dan menggembirakan. Tetapi jika sebaliknya, nikmat tersebut akan menjadi bala dan musibah yang menyakitkan serta dia akan hidup dalam keadaan penuh dengan gundah gelana, dukacita dan gangguan-gangguan yang tidak menyenangkan sehingga zaman muda itu menjadi sia-sia. Oleh itu, zaman muda itu akan menjadi bencana terhadapnya sendiri, kaum kerabatnya, negaranya dan bangsanya.
Walau bagaimanapun jika seseorang banduan dipenjarakan secara zalim, maka setiap jam yang dilaluinya di dalam penjara itu adalah sama seperti ibadat satu hari lengkap, jika dia menunaikan segala kefarduan ke atasnya. Ketika itu, penjara baginya adalah sama seperti tempat berlindung dan beruzlah daripada orang ramai, sama seperti dilakukan oleh golongan zahid dan abid yang beruzlah di dalam gua bagi melakukan amal ibadat jauh daripada pandangan manusia. Iaitu dia boleh menjadi seperti para zahid tersebut.
Jika dia seorang fakir, sakit, tua atau seorang yang hatinya bergantung kepada hakikat iman lalu dia bertaubat kepada Allah dan menunaikan segala kefarduan, maka setiap jam yang dilaluinya di dalam penjara akan bertukar menjadi seperti ibadat selama 20 jam. Malah penjara itu sendiri bertukar baginya menjadi seperti sebuah madrasah yang memberikan tunjuk ajar yang berguna kepadanya. Penjara juga menjadi tempatnya berkasih sayang dan bermesra dengan menghabiskan masa bersama rakan-rakan dalam keadaan penuh kerehatan di samping sentiasa mendapat pandangan kasihan belas dari luar. Bahkan mungkin dia lebih suka tinggal kekal di dalam penjara daripada lepas bebas di luar yang akan menyebabkannya bergelumang dengan segala macam jenis dosa dan kesalahan dari segenap penjuru. Dia merasa senang hati untuk menerima pengajaran dan pemurnian jiwa di dalam penjara. Ketika meninggalkan penjara, dia tidak lagi keluar sebagai seorang pembunuh atau sebagai seorang mahu membalas dendam, tetapi dia keluar sebagai seorang salih yang bertaubat kepada Allah dan telah memperoleh banyak pengalaman hidup yang berguna. Dia akan menjadi anggota yang berguna kepada masyarakat dan negara. Keadaan ini menyebabkan satu kumpulan banduan yang sama-sama berada di dalam penjara dengan kami di Penjara Denizli setelah menerima pengajian keimanan tentang ketinggian akhlak meskipun hanya dalam tempoh yang amat singkat untuk berkata:
“Jika mereka menerima pelajaran keimanan ini daripada Rasa’il al-Nur dalam tempoh 5 minggu sahaja, nescaya ia lebih berfaedah dan berguna daripada mencampakkan mereka selama 15 tahun ke dalam penjara.”
No Voice